Oleh : Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi
Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim, berbeza kasih anak buat ibu
hanya pada saat-saat yang khusus, waktu-waktu yang munasabah ataupun
ketika teringat atau terkenang ibu. Barangkali (pada hemat saya), dunia
hari ini perlukan "hari ibu" untuk memaut ingatan dan kasih insan
bergelar anak buat ibu mereka.
Dunia seperti insaf betapa hari ini ibu menjadi bahan antik yang dimumiakan ke
rumah orang-orang tua
dan sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari kematian. Sedikit
pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan
disamping anak-anak hingga ke akhir hayat mereka. Hanya anak-anak yang
soleh dan solehah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar
usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas
akhirnya dengan tenang di pangkuan anak.
Namun, anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah
dicari. Saya membenarkan kata-kata entah dari siapa yang mengatakan,
"Ibu
seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak
yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang
seorang."
Begitupun sikap dan perangai anak-anak kita, adakalanya ia kembali
kepada persoalan bagaimana sang ibu mendidik dan mentarbiyah
anak-anaknya. Oleh itu wahai kaum ibu, tarbiyahlah anak-anakmu agar
mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas
berjuang untuk menegakkan agama Allah Taala. Saya kira, anak seperti
inilah akan membuatkan ibu bangga dan bahagia.
Firman Allah Taala :
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang
berdoa Dengan berkata; Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari
isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan
hati melihatnya (penyejuk mata hati), dan jadikanlah kami imam ikutan
bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al Furqan:74)
Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa,
bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar
ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt.
Justeru itu, Nabi Muhammad S.A.W menegaskan (maksudnya),
"Tiadalah
seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah.
Maka ibu bapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi, Nasrani
atau Majusi." - Riwayat Bukhari dan Muslim
Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu
hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya. Mereka jugalah penyambung
warisan keluarga dan ummah, malah Nabi S.A.W sangat berbangga dengan
ramainya jumlah umat Baginda di akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W
(maksudnya),
"Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh
melahirkan anak, maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya
umat." - Riwayat Abi Daud dan an Nasa’ie
Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak-anak bukan suatu
yang mudah, sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di
zaman yang terlalu rosak persekitarannya.
Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak
yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga
mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi.
Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia
sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.
Terlebih penting ialah memiliki aqidah yang benar dan spiritual yang
yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat
yang kian luas menular.
Pengajaran Dari Wasiat Lukmanul Hakim
"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia
memberi nasihat kepadanya; Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan
syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan
susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua
tempat kembali (untuk menerima balasan)."
"Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan
denganku sesuatu yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui
sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah
Dengan mereka di dunia Dengan cara yang baik. dan Turutlah jalan
orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal
Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka
Aku akan menerangkan kepada kamu Segala yang kamu telah kerjakan."
"(Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata); Wahai anak kesayanganku,
Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk)
sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar
atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah
(untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus
pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat
kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan
Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya."
"Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah)
kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak
sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang
sombong takbur, lagi membanggakan diri."
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah
suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah
suara keldai." (Luqman:13-19)
Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman
- Membina aqidah kukuh agar tidak syirik.
- Asuhan agar mentaati ibu bapa.
- Meyakini pembalasan Ilahi. (syurga, neraka dan dosa, pahala).
- Melaksanakan Ibadah asas seperti solat.
- Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat.
- Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan.
- Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dan sebagainya.
- Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dan sebagainya.
Inilah silibus utama dalam pendidikan anak yang perlu kita laksanakan. Antara lainnya sabda Rasulullah S.A.W (bermaksud),
"Perintah
anak-anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah
meningkat tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan) apabila
umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka (lelaki
dan perempuan)." - Riwayat Imam Ahmad, Abi Daud, al Hakim dan al Baihaqi.
Petua Alim Ulama Kepada Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak
- Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W.
- Baca salawat sebanyak 100 kali.
- Baca ayat 83 dari surah Ali Imran 7 kali.
- Baca ayat al Kursi 170 kali.
- Baca ayat 46 dari surah at Taubah 100 Kali.
Ayat-ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian.
- Baca ayat ke 58 dari surah Yassin.
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di
tengah malam Jumaat sebanyak 313 kali. Sebelum membacanya, terlebih
dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali dihadiahkan kepada
Rasulullah S.A.W, Alim Ulama’, Para Syuhada’, Ibu bapa dan kaum Muslimin
Muslimat seluruhnya. - Rujuk buku
"Amalan Pelembut Hati" susunan al Ustaz Hanif bin Hj. Ghazali, Terbitan Madrasah Zubaidiyyah, Merbok Kedah.
Manakala kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata,
hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah. Semoga anak yang
bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Semoga Allah
memberkati kita semua.
Biodata Penulis
Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS
Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul
Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Antara tokoh
ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh
Muhammad Al Ghazali.