DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Monday, 15 October 2012

"BANGKIT PERTAHAN KESUCIAN ISLAM"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Bangkit Pertahan Kesucian Islam".
                                                                          
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Beberapa minggu yang lalu, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan lagi dengan penyiaran filem yang menghina Rasulullah S.A.W, yang sekaligus menghina Islam. Lantaran itu mimbar turut terpanggil untuk membicarakan isu mempertahan kesucian Islam pada khutbah kali ini sebagai menyatakan rasa marah, tidak puas hati dan terkilan terhadap penerbit dan Negara yang dengan sengaja menerbitkan filem yang menghina Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya sudah terlalu banyak tulisan-tulisan yang menghina Islam yang disiarkan.

Antara penghinaan tersebut ialah penulisan buku versi setan oleh Salman Rusdi, 1989,  Taslima Nasreen, warga Bangladesh pada tahun 1990 dan laman web yang muncul pada tahun 2011. Laman web ini telah meletakkan gambar perempuan bercoli dan berseluar dalam serta diikuti gambar babi dan berbagai lagi objek jijik dan diletak di atas kaabah.

Nampaknya siri terbaru penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. dan Islam melalui filem innocence of MUSLIMS, (Muslim yang tak berdosa) yang antaranya  memaparkan watak, kononnya rasul S.A.W. gila seks. Di sana sini kedengaran suara bantahan daripada individu-individu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik dan masyarakat awam terhadap pihak yang membuat filem jahat tersebut. Mereka menuntut supaya penerbitnya atau negara yang membenarkan penerbitan filem tersebut memohon maaf kepada masyarakat Islam seluruhnya. Malahan yang lebih membanggakan lagi pihak bukan Islam juga turut mengecam pembikinan filem tersebut yang amat tidak bertanggung jawab kerana ianya telah mewujudkan perasaan kebencian dikalangan pelbagai agama.

Ekoran darinya maka umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia telah bertindak menzahirkan amarahnya dengan membuat demonstrasi besar-besaran. Umat Islam memang peka dan sensitif, bertindak mempertahankan agama dan Rasul-Nya dari terus dihina atau dipermainkan.

Umat Islam tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba menghina Islam dengan apa jua cara. Umat Islam hendaklah mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap apa jua usaha oleh mana-mana pihak yang berniat jahat yang cuba menghina dan mempersenda Islam dan Rasul-Nya secara terbuka. Perlu ditegaskan bahawa setiap umat Islam mesti memiliki perasaan, kepedulian, kepekaan  dan mujahadah yang mantap, kuat, kental dan semangat  jihad yang tinggi sehingga sanggup bertindak bila-bila sahaja bagi mempertahan Islam daripada  terus dihina atau dicabar oleh sesiapa sahaja.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Disinilah pentingnya setiap individu Muslim, NGO-NGO Islam, parti-parti politik, jabatan dan agensi yang menjaga pengurusan hal ehwal Islam termasuk kerajaan perlu mempunyai tasawwur Islam yang jelas, halus dan teliti dan sepatutnya tampil secara bersatu dan bersepakat membantah terhadap pihak yang melakukan penghinaan ke atas  Islam dan  rasul S.A.W. Pada masa yang sama semua pihak juga kena sedar dan bertanggungjawab supaya dapat mengawal setiap kegiatan yang dijalankan sama ada atas nama seni , kebebasaan berkarya,  kebebasan bersuara, kebebasan berpendapat dan sebagainya yang memang dibenarkan tetapi hendaklah berasaskan tanggungjawab disamping tidak mempermainkan keharmonian kehidupan beragama. Suasana ini hendaklah difahami dan dijaga, kerana Islam juga tidak membenarkan menghina agama lain secara terbuka.

Oleh itu, sebarang tindakan untuk menimbulkan kebencian oleh mana pihak merupakan tindakan yang tidak bertamadun, mundur dan akan menjadikan kehidupan tidak aman. Tindakan ini sudah pasti akan mewujudkan kesan negatif yang berterusan kerana adanya tindak balas dari pihak yang tidak berpuashati kerana kepercayaan mereka telah dihina. Sesungguhnya pencabulan atau penghinaan terhadap mana-mana agama termasuk Islam, bukanlah lambang kebebasan sebenar. Ia hanyalah kebebasan yang tidak bertanggungjawab kerana mengundang kemarahan dan bakal menyusahkan banyak pihak kerana reaksi dan tindak balas yang akan timbul, seperti yang terjadi sekarang. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 108; 

"Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengetahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu kepada mereka apa yang mereka telah lakukan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini ingin menyeru umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah dan menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan, antaranya;

Pertama        :     Semua pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengawal, menyekat dan menghalang segala bentuk maklumat yang menghina Islam dan rasul-Nya hendaklah bertindak dengan pantas agar ianya tidak dapat ditontoni umum melalui apa jua saluran media.

Kedua           :     Kita perlu bersatu menyatakan bantahan ke atas penerbit dan Negara yang membenarkan dakyah penghinaan terhadap Islam dan Rasul-Nya. Bantahan ini hendaklah dilakukan secara berterusan hingga ke semua peringkat.

Ketiga            :     Pihak wisma putra hendaklah membuat nota bantahan terhadap Negara yang terbabit agar berhati-hati di masa akan datang supaya tidak lagi mengeluarkan bahan yang boleh menghina Islam.

Keempat        :    Terus memboikot pembelian atau penggunaan terhadap barangan keluaran Negara yang membenarkan penerbitan bahan yang menghina Islam, kita mulakan dengan yang mudah dahulu dengan tidak membeli barangan yang diguna selalu dan mengalihkannya dengan membeli barangan tempatan.

Pada masa yang sama, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia hendaklah bersatu mempertingkat dan memperkemas urus tadbir khususnya dalam bidang  kawalan media supaya dapat bertindak dengan lebih cepat dan pantas ke arah mengekang unsur tersebut. kita bertindak secara proaktif yakni sentiasa mencari maklumat yang menghina islam dan terus bertindak ke atasnya agar tidak disebarkan dengan meluas.

Di samping itu, umat Islam hendaklah istiqamah dengan usaha mencegah kemungakaran, bukan sekadar kelihatan bersemangat berdemonstrasi pada waktu membantah filem yang menghina Islam tetapi pada masa yang sama pula tidak yakin dengan pelaksanaan syariat Islam yang syumul. Keadaan ini tentulah berlawanan dan malahan boleh merosak aqidah.  Ini adalah satu kenyataan yang dapat dilihat dimana masih ada  orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang meragui kesempurnaan Islam. Terlebih malang lagi apabila pihak yang bertanggunjawab dan mempunyai kuasa mengawal fenomena ini tidak membuat sebarang tindakan bagi memperbetul keadaan. Ianya kelihatan seolah-olah mereka turut membenar dan merestui berlakunya keadaan ini.

Terakhir, umat Islam kena membanyakkan doa setelah pelbagai usaha tadi dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT boleh melakukan apa sahaja dibawah kekuasaannya untuk mengatasi puak atau pihak yang jahat tersebut, dengan syarat umat Islam benar-benar mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangannya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kesimpulannya, memang umat islam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sengaja menghina islam dengan apa jua cara. Jadi, umat Islam mesti sentiasa melakukan usaha memberi nasihat, menegur dan memperbetul segala kesalahan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menghina Islam. Kita tidak boleh membiarkan kejahilan, kebodohan, kebebalan dan kemungkaran seumpama ini berterusan. Apatahlagi jika ianya di buat dengan menyatakan fakta yang tidak betul,  tuduhan liar, fitnah dan melahirkan rasa kebencian yang tinggi terhadap islam. 

Sesungguhnya umat Islam mempunyai peranan besar dalam  arena dakwah ke arah; mendidik, membimbing dan memimpin umat, dengan pendekatan yang bijaksana dan berhikmah. Usahakanlah kegiatan membuat dan menyiarkan bahan-bahan, termasuk filem, video, animasi, artikel, rencana yang boleh menangkis apa sahaja serangan terhadap Islam disamping ianya dapat memberikan maklumat yang benar mengenai islam. 

"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)".  Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman antara kamu". Orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih".

Sumber: JAIS

No comments:

Post a Comment

MUTIARA TAQWA