Gambar Hiasan
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah
kita bertaqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang lebih berharga dan
dimuliakan oleh Allah SWT terhadap hamba-hambanya melainkan orang yang paling
bertaqwa.
Tajuk
khutbah kita pada kali ini adalah "Elakkan Budaya Bermewah Dalam Majlis
Perkahwinan".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Al-Quran
telah mengungkapkan sifat dunia sebagai keseronokan sementara yang sering memukau
manusia.
Firman
Allah SWT dalam Al-Hadid, ayat 20:
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain
hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan serta perhiasan, juga
bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak
pinak; seumpama hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur)
menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian
tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya kekuningan; akhirnya
hancur bersepai. Sedangkan di akhirat ada azab yang berat dan ada pula
keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia
ini tidak lain hanyalah keseronokan bagi orang-orang yang terpedaya".
Justeru,
kita sentiasa diingatkan supaya menjadikan akhirat sebagai matlamat kehidupan.
Dunia pula kita jadikan sebagai ladang untuk mencari bekalan
sebanyak-banyaknya.
Namun,
keindahan dunia itu tetap memukau manusia termasuk diri kita sendiri.
Kadang-kadang, tanpa kemampuan yang cukup pun, manusia masih berusaha untuk
merasakan keseronokan dunia walaupun dalam tempoh yang sementara, seperti pada
hari mereka menjadi raja sehari.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Hari
ini, sudah menjadi fenomena bagi kebanyakan pasangan pengantin baru untuk
meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka itu dengan pelbagai persiapan
dan perbelanjaan. Seringkali, pengantin dihiasi dengan pakaian yang indah dan
mahal, duduk di atas pelamin yang penuh dengan hiasan serta dilengkapkan dengan
hidangan jamuan yang pelbagai menunya. Itu belum lagi mengambil kira hantaran
yang berlebihan, hadiah cenderahati untuk para tetamu, kos menyewa dewan atau
hotel, kos penyediaan makanan yang tinggi, persalinan pengantin dan kos
penggambaran yang tinggi.
Sebenarnya,
mengadakan walimah adalah sebahagian dari tuntutan agama. Justeru, ia perlu
dilaksanakan dengan mematuhi kehendak agama. Sekiranya kita mahu mencapai
keredhaan Allah, maka beberapa perkara perlu dielakkan dan diperhatikan:
Pertama : Perlumbaan memeriahkan majlis perkahwinan
sering mendedahkan masyarakat kepada budaya bermewah-mewah yang boleh melupakan
manusia kepada matlamat hidup di akhirat. Marilah kita melihat bagaimana Allah
SWT menggambarkan sikap Qarun, seorang dari kaum Nabi Musa yang kemudian
menjadi pembesar dalam kerajaan Firaun. Beliau telah mempamerkan kekayaannya
kepada kaumnya sehingga menimbulkan fitnah dalam hati-hati mereka.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 79:
"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai
perhiasannya. Pada saat itu, berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan
kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan
seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib
baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka):
"Celakalah kamu (Janganlah kamu berkata demikian), pahala dari Allah lebih
baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima
(pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".
Jelaslah,
penampilan Qarun dengan gaya mewahnya telah menyebabkan sebahagian dari Bani
Isra'il terpesona dan membina angan-angan keduniaan. Samalah seperti majlis
perkahwinan yang diadakan secara gilang-gemilang sehingga digelar
"perkahwinan abad ini" (atau "wedding of the year"). Acara
yang dipamerkan di televisyen dan majalah-majalah tertentu itu tentu
mempesonakan ramai manusia. Mereka menatap wajah-wajah pengantin yang disolek
serta rekabentuk perhiasan majlis yang dipamerkan. Lalu memasang angan-angan
untuk melalui pengalaman yang sama. Apa yang lebih dibimbangi adalah timbulnya
perasaan megah, menunjuk-nunjuk serta sifat takbur dalam hati.
Kedua : Perbuatan bermewah-mewah dalam majlis
perkahwinan juga boleh menimbulkan irihati manusia lain. Sedangkan Rasulullah
SAW mengajar kita agar berwaspada dalam menguruskan nikmat yang diberi oleh
Allah SWT.
Sabda
baginda SAW:
"Usahakanlah untuk menjayakan keperluan kamu dengan
merahsiakannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu
didengki".
(Riwayat
al-Baihaqi dan al-Tabarani)
Oleh
itu, kita sepatutnya menggunakan nikmat yang Allah SWT kurniakan dengan cara
yang sederhana. Bukan mempamerkannya untuk tatapan orang ramai.
Ketiga : Perbelanjaan besar bagi meraikan
perkahwinan merupakan suatu pembaziran, jika ia melampaui uruf dan kebiasaan
masyarakat. Apatah lagi, sampai keluarga pengantin terpaksa meminjam wang untuk
menjayakan majlis itu. Kadang-kadang, walaupun anak daripada perkahwinan itu
sudah berderet, namun hutang belanja perkahwinan belum habis-habis dibayar.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar
Jumaat menyeru kaum Muslimin sekalian agar bersederhana di dalam kehidupan,
termasuk dalam menguruskan majlis perkahwinan. Janganlah pula kita membazir
dalam soal perbelanjaan perkahwinan. Bukankah orang-orang yang membazir itu
saudara syaitan. Syaitanlah yang membisikkan kita supaya berbelanja berlebihan
dalam menghebahkan perkahwinan.
Sedangkan
kos perbelanjaan yang besar itu lebih baik digunakan untuk kehidupan pasangan
selepas perkahwinan, bukan dihabiskan dalam masa sehari dua sahaja. Semoga
penjimatan itu akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga yang baru dibina
itu. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW:
"Perempuan (calon isteri) yang lebih besar
keberkatannya adalah yang lebih ringan maskahwinnya".
(Hadis
riwayat Ahmad, al-Bayhaqi dan al-Nasa'i)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kaum
lelaki yang menjadi suami dan ketua keluarga perlu bertanggungjawab dalam
mengawal dan menasihati ahli keluarga, khususnya isteri-isteri supaya tidak
bermewah-mewah dalam menganjurkan majlis perkahwinan anak kesayangan mereka.
Tahukah kita, ketika Sayyidina Ali KRW berkahwin dengan Sayyidatina Fatimah RA,
maskahwin yang disediakan hanyalah sebentuk cincin besi. Siapakah anak kita
berbanding Sayyidina Ali, dan siapakah pula calon isterinya berbanding
Sayyidatina Fatimah, puteri rasulullah yang agung.
Jika
kita tetap mahu berbelanja, adalah lebih baik perbelanjaan itu digunakan
sebagai sumbangan untuk orang-orang miskin dan anak yatim sempena perkahwinan
itu. Atau, kita mengundang mereka makan bersama dalam majlis keraian kita
secara percuma.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Semoga
sikap berhemat dalam hidup ini akan menghindarkan kita dari penyakit cintakan
dunia, menimbulkan kedengkian mahupun sifat riak dan bermegah dalam hati.
"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin
serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (26). Sesungguhnya orang-orang
yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah
makhluk yang sangat
kufur kepada Tuhannya".
(Al-Israa'
: 26-27)
Sumber: JAIS
No comments:
Post a Comment