DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Friday, 2 November 2012

PROGRAM DI MASJID AS-SYARIF MERU

MAKLUMAT LANJUT KARNIVAL HALAL FEST SELANGOR 2012
Print



Tajuk    :  Karnival Halal Fest Selangor 2012
Tarikh   :  9 - 11 November 2012
Masa    :  8.00 pagi - 12.00 malam
Tempat :  Masjid As-Syarif,
     Meru, Klang.
Aturcara Prorgam Halal Fest Selangor 2012
Aktiviti-aktiviti Halal Fest Selangor 2012

  1. Dirasmikan oleh Y.A.B Dato Menteri Besar Selangor
  2. Pameran dari agensi Kerajaan Negeri Selangor
  3. Jualan produk-produk halal sehingga jam 12.00 malam
  4. Forum Sempena Hijrah
  5. Pertandingan mewarna kanak-kanak
  6. Seminar Eksekutif Halal
  7. Kempen Derma Darah
  8. Kuliah Khas Muslimah
  9. Forum Perdana : Berkat Atau Berkarat
  10. Jom Mancing AsSyarif 2012
  11. Seminar Tarikat Suffiyah
  12. Persembahan Nasyid

Jualan Lot / Tapak Niaga

  1. Bayaran sewaan tapak 3 hari RM1000.00 berukuran 10' X 20' termasuk meja dan 2 kerusi, plug point, lampu dan kipas siling.
  2. Membuat pengesahan penyertaan kepada urusetia program selewat-lewatnya 7 hari sebelum program.
  3. Pemilihan lot / tapak berdasarkan kepada kehadiran awal adalah di utamakan.
  4. Segala urusan tertakluk pada terma dan syarat Halal Fest Selangor 2012.
  5. Bayaran boleh dibuat secara tunai / cek/ online kepada Bakajasa no akaun 12038010024889.

Tajuk    :  Seminar Eksekutif Halal
Tarikh   :  10 November 2012
Masa    :  8.00 pagi - 1.00 tengahari
Tempat :  Dewan Hambali, Masjid As-Syarif,
      Meru, Klang.

Seminar yang diadakan khusus kepada syarikat yang terlibat dengan industri halal bertujuan bagi meningkatkan kefahaman dikalangan eksekutif halal berkaitan perlaksanaan Standard Halal Malaysia dalam Pensijilan Halal, perlaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Prosedur Pensijilan Halal.
Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Azezul ditalian 013-3883276 / 03-55143603 atau Pn. Fairuz di talian 03-55143508 / 3678 atau Pn. Azwa di talian 03-55143724 / 3725 manakala faks ditalian  03-55128346.

Tajuk    :  Seminar Tarikat Suffiyah
Tarikh   :  11 November 2012
Masa    :  8.00 pagi - 1.00 tengahari
Tempat :  Dewan Hambali, Masjid As-Syarif,
      Meru, Klang.

Seminar Tarikat Suffiyah : Isu dan Permasalahan di Negeri Selangor bertujuan memberi pendedahan dan mewar-warkan semua bentuk penyelewengan yang berlaku terhadap akidah, syariah dan akhlak kepada masyarakat serta memberi kesedaran ke arah memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi terus Ustazah Siti Nor Hidayah di talian 03-55143532 atau 03-55143600 samb. 2093 / 2094 (En. Hadi / En. Zaki / Pn. Rohana / Pn. Siti Zulfah).

Sumber: Laman Web JAIS

ELAKKAN BUDAYA BERMEWAH DALAM MAJLIS PERKAHWINAN


Gambar Hiasan

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang lebih berharga dan dimuliakan oleh Allah SWT terhadap hamba-hambanya melainkan orang yang paling bertaqwa.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Elakkan Budaya Bermewah Dalam Majlis Perkahwinan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Al-Quran telah mengungkapkan sifat dunia sebagai keseronokan sementara yang sering memukau manusia.

Firman Allah SWT dalam Al-Hadid, ayat 20:


"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan serta perhiasan, juga bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; seumpama hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya kekuningan; akhirnya hancur bersepai. Sedangkan di akhirat ada azab yang berat dan ada pula keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah keseronokan bagi orang-orang yang terpedaya".


Justeru, kita sentiasa diingatkan supaya menjadikan akhirat sebagai matlamat kehidupan. Dunia pula kita jadikan sebagai ladang untuk mencari bekalan sebanyak-banyaknya.

Namun, keindahan dunia itu tetap memukau manusia termasuk diri kita sendiri. Kadang-kadang, tanpa kemampuan yang cukup pun, manusia masih berusaha untuk merasakan keseronokan dunia walaupun dalam tempoh yang sementara, seperti pada hari mereka menjadi raja sehari.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Hari ini, sudah menjadi fenomena bagi kebanyakan pasangan pengantin baru untuk meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka itu dengan pelbagai persiapan dan perbelanjaan. Seringkali, pengantin dihiasi dengan pakaian yang indah dan mahal, duduk di atas pelamin yang penuh dengan hiasan serta dilengkapkan dengan hidangan jamuan yang pelbagai menunya. Itu belum lagi mengambil kira hantaran yang berlebihan, hadiah cenderahati untuk para tetamu, kos menyewa dewan atau hotel, kos penyediaan makanan yang tinggi, persalinan pengantin dan kos penggambaran yang tinggi.

Sebenarnya, mengadakan walimah adalah sebahagian dari tuntutan agama. Justeru, ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi kehendak agama. Sekiranya kita mahu mencapai keredhaan Allah, maka beberapa perkara perlu dielakkan dan diperhatikan:

Pertama       :      Perlumbaan memeriahkan majlis perkahwinan sering mendedahkan masyarakat kepada budaya bermewah-mewah yang boleh melupakan manusia kepada matlamat hidup di akhirat. Marilah kita melihat bagaimana Allah SWT menggambarkan sikap Qarun, seorang dari kaum Nabi Musa yang kemudian menjadi pembesar dalam kerajaan Firaun. Beliau telah mempamerkan kekayaannya kepada kaumnya sehingga menimbulkan fitnah dalam hati-hati mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 79:

"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. Pada saat itu, berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka): "Celakalah kamu (Janganlah kamu berkata demikian), pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".

Jelaslah, penampilan Qarun dengan gaya mewahnya telah menyebabkan sebahagian dari Bani Isra'il terpesona dan membina angan-angan keduniaan. Samalah seperti majlis perkahwinan yang diadakan secara gilang-gemilang sehingga digelar "perkahwinan abad ini" (atau "wedding of the year"). Acara yang dipamerkan di televisyen dan majalah-majalah tertentu itu tentu mempesonakan ramai manusia. Mereka menatap wajah-wajah pengantin yang disolek serta rekabentuk perhiasan majlis yang dipamerkan. Lalu memasang angan-angan untuk melalui pengalaman yang sama. Apa yang lebih dibimbangi adalah timbulnya perasaan megah, menunjuk-nunjuk serta sifat takbur dalam hati.

Kedua        :       Perbuatan bermewah-mewah dalam majlis perkahwinan juga boleh menimbulkan irihati manusia lain. Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita agar berwaspada dalam menguruskan nikmat yang diberi oleh Allah SWT.

Sabda baginda SAW:

"Usahakanlah untuk menjayakan keperluan kamu dengan merahsiakannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu didengki".                                                                  

(Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)

Oleh itu, kita sepatutnya menggunakan nikmat yang Allah SWT kurniakan dengan cara yang sederhana. Bukan mempamerkannya untuk tatapan orang ramai.

Ketiga        :         Perbelanjaan besar bagi meraikan perkahwinan merupakan suatu pembaziran, jika ia melampaui uruf dan kebiasaan masyarakat. Apatah lagi, sampai keluarga pengantin terpaksa meminjam wang untuk menjayakan majlis itu. Kadang-kadang, walaupun anak daripada perkahwinan itu sudah berderet, namun hutang belanja perkahwinan belum habis-habis dibayar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar Jumaat menyeru kaum Muslimin sekalian agar bersederhana di dalam kehidupan, termasuk dalam menguruskan majlis perkahwinan. Janganlah pula kita membazir dalam soal perbelanjaan perkahwinan. Bukankah orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Syaitanlah yang membisikkan kita supaya berbelanja berlebihan dalam menghebahkan perkahwinan.

Sedangkan kos perbelanjaan yang besar itu lebih baik digunakan untuk kehidupan pasangan selepas perkahwinan, bukan dihabiskan dalam masa sehari dua sahaja. Semoga penjimatan itu akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga yang baru dibina itu. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW:  

"Perempuan (calon isteri) yang lebih besar keberkatannya adalah yang lebih ringan maskahwinnya".

                                                                                                                 (Hadis riwayat Ahmad, al-Bayhaqi dan al-Nasa'i)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kaum lelaki yang menjadi suami dan ketua keluarga perlu bertanggungjawab dalam mengawal dan menasihati ahli keluarga, khususnya isteri-isteri supaya tidak bermewah-mewah dalam menganjurkan majlis perkahwinan anak kesayangan mereka. Tahukah kita, ketika Sayyidina Ali KRW berkahwin dengan Sayyidatina Fatimah RA, maskahwin yang disediakan hanyalah sebentuk cincin besi. Siapakah anak kita berbanding Sayyidina Ali, dan siapakah pula calon isterinya berbanding Sayyidatina Fatimah, puteri rasulullah yang agung.

Jika kita tetap mahu berbelanja, adalah lebih baik perbelanjaan itu digunakan sebagai sumbangan untuk orang-orang miskin dan anak yatim sempena perkahwinan itu. Atau, kita mengundang mereka makan bersama dalam majlis keraian kita secara percuma.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Semoga sikap berhemat dalam hidup ini akan menghindarkan kita dari penyakit cintakan dunia, menimbulkan kedengkian mahupun sifat riak dan bermegah dalam hati.

"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (26). Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat
kufur kepada Tuhannya".                                                                                                   

(Al-Israa' : 26-27)

Sumber: JAIS

Saturday, 20 October 2012

Mutiara Taqwa: Jauhi Perbuatan Keji


"ZINA, HOMOSEKS, LESBIAN MELENYAP TAMADUN UMMAH"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Zina, Homoseks dan Lesbian Melenyap Tamadun Ummah".


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Zina adalah suatu perbuatan yang amat terkutuk, keji dan kotor dan golongan yang melakukannya adalah sungguh besar dosanya serta dilaknat oleh Allah SWT. Orang yang melakukannya juga adalah melakukan perbuatan syaitan dan berada dalam kesesatan, kemungkaran yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi, institusi keluarga dan Ummah. Larangan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".
Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia dan azab di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Istilah homoseksual atau lesbian merujuk kepada hubungan seksual sesama jantina yakni lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Bahaya aktiviti homoseksual ini ialah ia akan dan telah merosakkan kekuatan moral masyarakat. Ia juga berupaya membunuh institusi kekeluargaan dan keturunan. Perlakuan homoseksual juga mencerminkan kemunduran pemikiran ummat. Aktiviti jijik ini bertanggungjawab atas tersebarnya wabak dan penyakit yang merosakkan ketamadunan manusia itu sendiri. Apabila semakin merebaknya budaya songsang ini, maka tentunya masyarakat yang terbena nanti merupakan masyarakat yang pincang moralnya.

Rasulullah saw pernah bersabda riwayat at-Tirmidzi, al-Hakim, Ibn Majah: 

"Sesungguhnya hal yang paling aku takutkan menimpa umatku adalah perbuatan kaum Luth".                                                                                                                                           

(Riwayat at-Tirmidzi)

Kemelut seks tidak normal ini semakin mengancam dunia. Sejarah menyaksikan manusia pernah ditimpa musibah akibat kegiatan homoseksual seperti mana peristiwa di zaman Nabi Lut dan juga apa yang berlaku di kota Pompei. Hakikatnya, manusia seringkali leka. Buktinya, hari ini, gejala homoseksual dan lesbian begitu berleluasa di mana ia bukan lagi tertumpu di negara Barat yang sekular, malah merebak ke negara-negara Islam.

Gejala nafsu songsang yang melanda umat manusia kini bukan lagi rahsia. Bagi mereka, adalah normal kalau lelaki mencintai lelaki, dan wanita 'bersuamikan' wanita. Tidak ada lagi rasa malu dan segan untuk memberitahu dunia bahawa mereka berjiwa songsang. Malah cuba pula untuk mempertahankan serta memperjuangkan 'hak' kononnya mereka perlu dilayan sama rata. Perlu diberi ruang menjadi sebahagian daripada kelompok dunia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81: 

"Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya, "Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?" Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Jelaslah maksud ayat di atas perlakuan homoseks ini adalah melampaui batasan Allah SWT dan ianya adalah perbuatan keji dan terkutuk.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada kejahilan ummah dan masyarakat kepada selok belok agama di samping terlalu mengejar kehidupan dunia. Ini ditambah oleh perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah dicapai melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan melampau dan pergaulan bebas yang merangsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 43-44: 

"Terangkan kepadaku (wahai Muhammad) tentang keburukan keadaan orang yang 
menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi penjaga (yangm= menjaganya supaya tidak sesat)? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (pegangan) mereka lebih sesat lagi".

Dalam masa yang sama, peniaga VCD lucah mengambil kesempatan menjual secara bebas dan berleluasa. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah. Kesemua perkara itu adalah faktor pendorong kepada pelbagai perlakuan maksiat dan perzinaan.

Sempena sambutan Hari Kekasih, sambutan 31 Ogos dan sambutan Tahun Baru setiap tahun, Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk meneruskan program-program yang membawa masyarakat kepada kebaikan serta menjauhi kemungkaran. Setiap tahun setiap kali sambutan diadakan, kedengaran pelbagai isu terutama yang melibatkan gejala sosial dalam masyarakat oleh sebahagian masyarakat semua lapisan seperti pergaulan bebas yang menyebabkan pelbagai gejala tidak baik seperti zina, hubungan seks bebas dan sebagainya atas alasan kerana menyambut kedatangan perayaan tersebut. Dalam hubungan ini JAIS melalui pendekatan dakwah, melancarkan Gerakan Anti Zina dan Kaunseling yang bertujuan untuk membendung dan mencegah dari berleluasanya budaya songsang yang akan melenyapkan tamadun ummah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Fenomena yang berlaku itu, perlulah kita sama-sama menyedari dan menginsafi akan kesan yang akan membawa kerosakan kepada keturunan institusi keluarga dan boleh memporak-perandakan masyarakat dan melenyapkan tamadun manusia. Antara langkah-langkah yang dapat kita lakukan segera oleh umat Islam ialah:

Pertama       :      Carilah altenatif di setiap sambutan yang dirayakan itu dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaan" Baiti Jannati " iaitu (Rumahku Syurgaku).

Kedua          :      Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar dan muda mudi ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forum-forum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia disisi Allah.

Ketiga           :      Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat termasuk Ngo hendaklah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Keempat       :     Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran dan segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya di media-media.

Kelima          :      Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.

Keenam        :     Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai.

Ketujuh        :       Media cetak dan elektronik hendaklah menghindari daripada menyiarkan unsur-unsur yang menimbulkan kelucahan dan merangsang nafsu syahwat. Alangkah malangnya sekiranya media-media yang dimiliki oleh orang Islam juga turut menyumbangkan ke arah unsur-unsur kelucahan tersebut. 

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya".                                                                                                                                                                                                                                 

(Al-A'araf : 33)

Sumber: JAIS

Kepentingan Ilmu Dalam Berbicara



Dalam menghadapi liku liku hidup, kita pasti sesat dalam mencari laluan kehidupan, jika sekiranya kita tidak mempunyai ilmu, bak kata pepatah "ilmu penyuluh hidup" atau "ilmu penyeri hidup". Ilmu perlu dicari dan diteroka untuk kebaikan diri dan juga manusia sejagat. Ilmu juga adalah pemangkin kepada kehidupan.
Mencari ilmu dunia dan akhirat bukan lah senang, untuk dapat ilmu yang baik, ada banyak cabaran dan juga dugaan. Ilmu yang tidak baik senang untuk diperolehi. Namun kedua-duanya dapat dikategorikan sebagai ilmu dan mencari ilmu itu adalah satu kewajipan kepada setiap manusia.
Allah berfirman, ertinya;
"Dan janganlah engkau ikuti apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang-nya, sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati semuanya itu akan di tanya"
(Surah al-Isra' ayat 36)
Ayat di atas menerangkan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang apa yang dibincangkan usah la berbicara kecuali ada pandangan. Pandangan di sini bermaksud, kita mendapat persefahaman tentang apa yang dibicarakan. Namun pandangan tersebut mestilah betul dan mengikut fakta.
Dan sabda Nabi :
"Barang siapa berbicara tentang al Qur'an dengan akal nya atau tidak dengan ilmu, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di neraka"
(Hadist seperti ini ada dari 2 jalan, yaitu Ibnu Abas dan Jundub. Lihat Tafsir Qur'an yang diberi mukaddimah oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Arnauth hal. 6, Tafsir Ibnu Katsir dalam Mukaddimah hal. 13, Jami' As-Shahih Sunan Tirmidzi jilid 5 hal.183 no. 2950 dan Tuhfatul Ahwadzi jilid 8 hal. 277)
Berwaspadalah ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Sekiranya ilmu yang disampaikan itu adalah salah dan boleh membawa kepada fitnah, besar dosanya buat kita. Zaman sekarang, ramai di antara kita yang sudah mula mengenali "Freedom of Speech", di mana, kita bebas untuk bersuara tidak kira usia, pangkat dan juga ilmu di dada. Apa yang tersirat di dalam hati, dapat kita luahkan begitu sahaja tanpa mengenal baik buruknya.

Sentiasa beringat tentang ilmu yang diperolehi, mungkin ilmu itu bakal berguna pada kita kelak, namun oleh kerana sudah merasa ilmu itu sudah cukup, kita mampu untuk memberi hujah dan nasihat kepada mereka yang dianggap kurang ilmu.
Ilmu datangnya dari pembelajaran dan juga pengalaman. pengalaman akan mengajar kita erti kesabaran. Ada yang mengata kesabaran dalam menuntut ilmu selalunya akan mendapat keredhaanNya. Namun, kita perlu tahu, ilmu itu adakah baik atau sebaliknya?
Orang-Orang salaf berkata : "Waspadalah terhadap cubaan orang berilmu yang buruk (ibadahnya) dan ahli ibadah yang bodoh." (Al-wala'wal bara' hal. 230)
Ramai di antara kita sudah terpedaya dengan kata-kata yang tak diteraskan dengan ilmu yang baik. Sama samalah kita momohon supaya dihindari perkara sebegini. Sentiasa bermunajat dan beristighfar kepadaNya supaya ilmu yang diperoleh tidaklah menyebabkan pengamal itu merana.
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang bermanfaat dan amal yang diterima" (Hisnul Muslim, hal. 44 no. 73).
Allah mengingatkan kita di dalam kitabNya yang bermaksud; 
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya"
(Surah al-Baqarah ayat 42)
Setiap ilmu yang dianugerahkan kepada kita, akan ada masanya ilmu itu akan diduga oleh Allah kepada kita. Namun, setiap manusia juga dikurniakan akal olehNya untuk berfikir sama ada ilmu itu baik atau buruk baginya. Jika ia buruk, bersamalah kita untuk meninggalkannya. Jika ilmu itu baik, sama-samalah kita untuk berkongsi dengan semua.
"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"
(Surah al-Baqarah ayat 208)
Walaubagaimanapun, setiap ilmu itu ada batasnya. Ilmu itu akan mengikut keimanan seseorang untuk menterjemahkan ia sebagai pengangan hidup. Adakala ilmu yang diperoleh terlalu tinggi, sehingga mengakibatkan dirinya tidak dapat menanggung segala dugaan yang menimpanya.
Oleh itu, beramal lah dengan ilmu itu sebaik baiknya. Lengkapkan diri dengan kekuatan iman yang kuat supaya dapat menjadi kulit kepada ilmu yang menjadi manisan di dalamnya.

Biodata Penulis

Luqmanhakim merupakan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Kimia (Biotek) di Universiti Islam Antarabangsa. Berkongsi karya di http://lhthebest12.blogspot.com

Monday, 15 October 2012

"BANGKIT PERTAHAN KESUCIAN ISLAM"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Bangkit Pertahan Kesucian Islam".
                                                                          
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Beberapa minggu yang lalu, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan lagi dengan penyiaran filem yang menghina Rasulullah S.A.W, yang sekaligus menghina Islam. Lantaran itu mimbar turut terpanggil untuk membicarakan isu mempertahan kesucian Islam pada khutbah kali ini sebagai menyatakan rasa marah, tidak puas hati dan terkilan terhadap penerbit dan Negara yang dengan sengaja menerbitkan filem yang menghina Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya sudah terlalu banyak tulisan-tulisan yang menghina Islam yang disiarkan.

Antara penghinaan tersebut ialah penulisan buku versi setan oleh Salman Rusdi, 1989,  Taslima Nasreen, warga Bangladesh pada tahun 1990 dan laman web yang muncul pada tahun 2011. Laman web ini telah meletakkan gambar perempuan bercoli dan berseluar dalam serta diikuti gambar babi dan berbagai lagi objek jijik dan diletak di atas kaabah.

Nampaknya siri terbaru penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. dan Islam melalui filem innocence of MUSLIMS, (Muslim yang tak berdosa) yang antaranya  memaparkan watak, kononnya rasul S.A.W. gila seks. Di sana sini kedengaran suara bantahan daripada individu-individu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik dan masyarakat awam terhadap pihak yang membuat filem jahat tersebut. Mereka menuntut supaya penerbitnya atau negara yang membenarkan penerbitan filem tersebut memohon maaf kepada masyarakat Islam seluruhnya. Malahan yang lebih membanggakan lagi pihak bukan Islam juga turut mengecam pembikinan filem tersebut yang amat tidak bertanggung jawab kerana ianya telah mewujudkan perasaan kebencian dikalangan pelbagai agama.

Ekoran darinya maka umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia telah bertindak menzahirkan amarahnya dengan membuat demonstrasi besar-besaran. Umat Islam memang peka dan sensitif, bertindak mempertahankan agama dan Rasul-Nya dari terus dihina atau dipermainkan.

Umat Islam tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba menghina Islam dengan apa jua cara. Umat Islam hendaklah mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap apa jua usaha oleh mana-mana pihak yang berniat jahat yang cuba menghina dan mempersenda Islam dan Rasul-Nya secara terbuka. Perlu ditegaskan bahawa setiap umat Islam mesti memiliki perasaan, kepedulian, kepekaan  dan mujahadah yang mantap, kuat, kental dan semangat  jihad yang tinggi sehingga sanggup bertindak bila-bila sahaja bagi mempertahan Islam daripada  terus dihina atau dicabar oleh sesiapa sahaja.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Disinilah pentingnya setiap individu Muslim, NGO-NGO Islam, parti-parti politik, jabatan dan agensi yang menjaga pengurusan hal ehwal Islam termasuk kerajaan perlu mempunyai tasawwur Islam yang jelas, halus dan teliti dan sepatutnya tampil secara bersatu dan bersepakat membantah terhadap pihak yang melakukan penghinaan ke atas  Islam dan  rasul S.A.W. Pada masa yang sama semua pihak juga kena sedar dan bertanggungjawab supaya dapat mengawal setiap kegiatan yang dijalankan sama ada atas nama seni , kebebasaan berkarya,  kebebasan bersuara, kebebasan berpendapat dan sebagainya yang memang dibenarkan tetapi hendaklah berasaskan tanggungjawab disamping tidak mempermainkan keharmonian kehidupan beragama. Suasana ini hendaklah difahami dan dijaga, kerana Islam juga tidak membenarkan menghina agama lain secara terbuka.

Oleh itu, sebarang tindakan untuk menimbulkan kebencian oleh mana pihak merupakan tindakan yang tidak bertamadun, mundur dan akan menjadikan kehidupan tidak aman. Tindakan ini sudah pasti akan mewujudkan kesan negatif yang berterusan kerana adanya tindak balas dari pihak yang tidak berpuashati kerana kepercayaan mereka telah dihina. Sesungguhnya pencabulan atau penghinaan terhadap mana-mana agama termasuk Islam, bukanlah lambang kebebasan sebenar. Ia hanyalah kebebasan yang tidak bertanggungjawab kerana mengundang kemarahan dan bakal menyusahkan banyak pihak kerana reaksi dan tindak balas yang akan timbul, seperti yang terjadi sekarang. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 108; 

"Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengetahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu kepada mereka apa yang mereka telah lakukan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini ingin menyeru umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah dan menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan, antaranya;

Pertama        :     Semua pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengawal, menyekat dan menghalang segala bentuk maklumat yang menghina Islam dan rasul-Nya hendaklah bertindak dengan pantas agar ianya tidak dapat ditontoni umum melalui apa jua saluran media.

Kedua           :     Kita perlu bersatu menyatakan bantahan ke atas penerbit dan Negara yang membenarkan dakyah penghinaan terhadap Islam dan Rasul-Nya. Bantahan ini hendaklah dilakukan secara berterusan hingga ke semua peringkat.

Ketiga            :     Pihak wisma putra hendaklah membuat nota bantahan terhadap Negara yang terbabit agar berhati-hati di masa akan datang supaya tidak lagi mengeluarkan bahan yang boleh menghina Islam.

Keempat        :    Terus memboikot pembelian atau penggunaan terhadap barangan keluaran Negara yang membenarkan penerbitan bahan yang menghina Islam, kita mulakan dengan yang mudah dahulu dengan tidak membeli barangan yang diguna selalu dan mengalihkannya dengan membeli barangan tempatan.

Pada masa yang sama, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia hendaklah bersatu mempertingkat dan memperkemas urus tadbir khususnya dalam bidang  kawalan media supaya dapat bertindak dengan lebih cepat dan pantas ke arah mengekang unsur tersebut. kita bertindak secara proaktif yakni sentiasa mencari maklumat yang menghina islam dan terus bertindak ke atasnya agar tidak disebarkan dengan meluas.

Di samping itu, umat Islam hendaklah istiqamah dengan usaha mencegah kemungakaran, bukan sekadar kelihatan bersemangat berdemonstrasi pada waktu membantah filem yang menghina Islam tetapi pada masa yang sama pula tidak yakin dengan pelaksanaan syariat Islam yang syumul. Keadaan ini tentulah berlawanan dan malahan boleh merosak aqidah.  Ini adalah satu kenyataan yang dapat dilihat dimana masih ada  orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang meragui kesempurnaan Islam. Terlebih malang lagi apabila pihak yang bertanggunjawab dan mempunyai kuasa mengawal fenomena ini tidak membuat sebarang tindakan bagi memperbetul keadaan. Ianya kelihatan seolah-olah mereka turut membenar dan merestui berlakunya keadaan ini.

Terakhir, umat Islam kena membanyakkan doa setelah pelbagai usaha tadi dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT boleh melakukan apa sahaja dibawah kekuasaannya untuk mengatasi puak atau pihak yang jahat tersebut, dengan syarat umat Islam benar-benar mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangannya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kesimpulannya, memang umat islam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sengaja menghina islam dengan apa jua cara. Jadi, umat Islam mesti sentiasa melakukan usaha memberi nasihat, menegur dan memperbetul segala kesalahan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menghina Islam. Kita tidak boleh membiarkan kejahilan, kebodohan, kebebalan dan kemungkaran seumpama ini berterusan. Apatahlagi jika ianya di buat dengan menyatakan fakta yang tidak betul,  tuduhan liar, fitnah dan melahirkan rasa kebencian yang tinggi terhadap islam. 

Sesungguhnya umat Islam mempunyai peranan besar dalam  arena dakwah ke arah; mendidik, membimbing dan memimpin umat, dengan pendekatan yang bijaksana dan berhikmah. Usahakanlah kegiatan membuat dan menyiarkan bahan-bahan, termasuk filem, video, animasi, artikel, rencana yang boleh menangkis apa sahaja serangan terhadap Islam disamping ianya dapat memberikan maklumat yang benar mengenai islam. 

"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)".  Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman antara kamu". Orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih".

Sumber: JAIS

MUTIARA TAQWA