DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Friday, 21 September 2012

Khutbah : "PENYELEWENGAN AJARAN JURUZON"





Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Penyelewengan Ajaran Juruzon".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 67; 

"Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang daripada perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang munafik itu, merekalah orang yang fasiq".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Umat Islam hari ini telah menghadapi berbagai penyelewengan terutamanya dari sudut aqidah. Musuh-musuh Islam sentiasa menunggu peluang untuk menyesatkan umat Islam. Kegiatan menyesatkan aqidah umat Islam telah bermula semenjak zaman nabi lagi yang telah didedahkan oleh al-Quran perihal mereka ini. Ramai orang awam terjebak dengan dakyah oleh pengembang-pengembang ajaran sesat yang tidak berputus asa menyesatkan umat Islam.

Oleh itu, mimbar jumaat pada hari ini akan menerangkan secara jelas kepada seluruh masyarakat Islam terutamanya di negeri Selangor berkenaan salah satu ajaran atau fahaman yang sesat. Ajaran ini dikenali sebagai ajaran Juruzon yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan pada 23 Februari 2012 yang lalu dan ajaran ini juga telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan pada 5 September 1996.

 Ajaran Juruzon ini telah diasaskan oleh seorang yang bernama Juruzon Bin Abd. Latif atau lebih dikenali dengan panggilan Hj. Ahmad Al-Walidi atau Pak su yang berasal daripada Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau telah menubuhkan sebuah markas yang pertama untuk mengembangkan ajarannya di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang berselindung disebalik nama Madrasah Tarikat Al-Irdiah.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Terbongkarnya ajaran ini di Selangor ialah apabila berlakunya suatu peristiwa tanah runtuh yang melibatkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang telah mengorbankan seramai 16 orang pada 21 Mei  2011 tahun lalu. Setelah disiasat, pihak berkuasa mendapati bahawa pengasas ajaran adalah orang yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan. Beliau telah membina Madrasah At-Taqwa yang bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2002 sebagai tapak baru.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
         
 Setelah berlakunya tragedi hitam ke atas madrasah tersebut, didapati madrasah ini menjadi pusat kegiatan ajaran Juruzon dan terdapat banyak penemuan serta bukti penyelewengan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antaranya ialah;

1.   Penerimaan ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak, di mana mereka meyakini akan kehadiran "Guru Ghaib" yang turun melalui badan Juruzon. Ia memberi pengajaran dan arahan kepada ahli kumpulan agar patuh dan setia melalui majlis yang dinamakan "Majlis Rabitah".

2.   Juruzon mendakwa mempunyai bacaan al-Qurannya sendiri yang turun daripada Arasy. Bahasa Arasy ini bukanlah bahasa arab seperti bahasa al-Quran, tetapi bahasa Arasy itu sendiri. Beliau juga mendakwa bahasa ini digunakan selepas mati.

3.   Amalan atau pegangan yang bersifat kepada salah laku seks yang melampau, iaitu perbuatan terkutuk ini dilakukan adalah semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwatnya.

4.   Ajaran ini juga mengkelaskan "mahram" yang bertentangan dengan syarak, yang mana amalan ini adalah bertujuan menjadikan hubungan di antara ahli-ahli kumpulan seperti adik-beradik yang menghalalkan bersalaman dan bersentuhan tanpa lapik atau bercium pipi di antara lelaki dan perempuan.

5.   Penyalahgunaan konsep zakat iaitu Juruzon mengenakan kutipan zakat kepada ahli-ahli kumpulan di antara 10-25% daripada pendapatan bulanan yang wajib diberikan setiap awal bulan dan akan berganda jika lewat dibayar, wang ini merupakan salah satu cara mengembangkan ajaran ini dengan lebih pesat.

6.   Juruzon mendakwa mendapat perintah daripada "Guru Ghaib" bahawa setiap ahli kumpulan hendaklah membuat pinjaman dan menjadi penjamin kepadanya semata-mata untuk memenuhi kehendak beliau termasuklah bayaran kereta mewah, rumah banglo dan sebagainya.

7.   Juruzon mendakwa beliau mampu untuk berinteraksi dengan roh-roh si mati lebih-lebih lagi ibubapa kepada ahli-ahli kumpulan yang telah meninggal dunia, beliau juga menyatakan bahawa roh-roh mereka ini mewasiatkan supaya anak mereka tetap bersama di dalam jemaah ini kerana jemaah ini adalah jemaah yang benar.

8.   Ajaran ini memutuskan hubungan kekeluargaan untuk melahirkan pengikut taksub, yang mana juruzon menggalakkan ibubapa di kalangan kumpulan ini menyerahkan anak-anak mereka untuk mengikuti kumpulan ini sejak berumur 12 tahun dan ada juga yang menyerahkan sejak berada dalam kandungan ibunya.

9.   Juruzon juga mengugut ibubapa yang keluar daripada kumpulan ini dengan menghasut anak-anak mereka supaya membenci ibubapa. Beliau menghalang dan memisahkan anak-anak daripada berjumpa dengan ibubapa mereka sendiri. Mereka yang keluar daripada kumpulan dianggap pembelot dan pengkhianat agama. Juruzon juga mengancam kepada ahli kumpulan yang hendak keluar denga nacaman yang menakutkan.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Mereka yang terlibat dengan ajaran ini hendaklah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana keseluruhan ajaran Juruzon ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
         
 Marilah kita bersama-sama memelihara pegangan aqidah kita dengan langkah-langkah berikut;

1.   Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dan muktamad.

2.   Setiap ajaran, fahaman atau pegangan yang menyalahi perkara asas dalam Islam seperti menolak Al-Quran dan As-Sunnah perlu dijauhi dan dihindari.

3.   Sentiasa merujuk kepada para alim ulama yang bertauliah dan institusi agama Islam yang diiktiraf bagi mengemukakan persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan syariat.

4.   Sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama daripada alim ulama yang bertauliah mengajar sebagai salah satu cara atau usaha untuk menyelamatkan diri daripada terjebak ke dalam ajaran yang menyeleweng.

5.   Memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber yang benar dan tepat.

6.   Memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama di sekolah atau institusi pendidikan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisihan (mengenai agama Islam) melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu (yang sah tentang kebenarannya) semata-mata kerana hasad dengki yang menebal di kalangan mereka. Sesiapa yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat cepat perhitungan-Nya".
                                                                                       
(Ali-‘Imran: 19)

Sumber: JAIS

No comments:

Post a Comment

MUTIARA TAQWA