Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan
kita ke hadrat Allah SWT dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi
segala larangan-Nya. Semoga Allah SWT akan memberikan kepada kita kemudahan dan
keberkatan dalam menyelusuri kehidupan di dunia dan di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini
adalah "Melangkah Ke Tanah Suci".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada saat ini, jutaan umat Islam
sedang berkumpul di sekitar Baitullah al-Haram, Makkah, untuk memenuhi
panggilan Allah, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hajj ayat 27;
"Dan
serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan
datang ke rumah Tuhan-Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang
berjenis-jenis unta kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari
pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh".
Haji adalah salah satu daripada
rukun Islam. Ia merupakan sendi-sendi Islam yang terkuat. Diwajibkan sekali
seumur hidup. Dengan melaksanakan ibadah haji itu, akan sempurnalah Islam
seseorang dan lengkaplah agamanya.
Umat Islam
datang sebagai tetamu Allah untuk menyahut seruan Allah dengan satu ikrar
iaitu;
"Ya
Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu! YaTuhanku, aku menyahut
seruan-Mu. Sesungguhnya segala kepujian dan nikmat bagi-Mu sahaja, dan kerajaan
sebenarnya milik-Mu juga, tiada sekutu bagi-Mu (tiada Tuhan yang lain
daripada-Mu)".
Membaca talbiah dengan hati yang
ikhlas dan penuh khusyuk, akan mendapat berita gembira iaitu syurga Allah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya ibadah dalam Islam ada
yang bersifat badaniyah, iaitu ibadah yang menitikberatkan pada kekuatan
fizikal seperti solat dan puasa. Ada yang bersifat qalbiyah, iaitu ibadah yang
pengamalannya pada hati, seperti zikir serta ada pula ibadah yang bersifat
maliyah iaitu dengan wang seperti zakat, infaq dan sedekah.
Adapun ibadah haji adalah gabungan
ketiga-tiganya iaitu badaniyah, qalbiyah dan maliyah. Badan ikut melaksanakan,
hati ikut berperanan dan hartapun ikut menentukan. Ketiga-tiganya merupakan
satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.
Kita mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada mereka yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Terpilih
mendapat peluang ke Tanah Suci merupakan satu nikmat dan kejayaan dalam
kehidupan seseorang hamba di sisi Allah.
Ibadah haji mentarbiyyah seseorang
itu bermujahadah dengan mengeluarkan belanja yang besar, tekad yang kuat dan
azam yang mendalam. Mereka mesti rela meninggalkan tanah air, keluarga yang
dicintai, kesibukan kerja yang sukar ditinggalkan, menghadapi udara terlalu
panas atau sejuk, dan makan minum yang terkadang tidak sesuai dengan selera.
Namun, kerana panggilan Allah, mereka tetap menempuhinya dengan tabah, sehingga
dengan begitu tahap keimannya menjadi semakin kukuh dan kuat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perjalanan ibadah haji menuntut
bekalan yang cukup, dan persiapan yang sempurna. Selain daripada ilmu
pengetahuan, maka perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah seperti
berikut;
Pertama : Ketika hendak melangkahkan kaki
meninggalkan rumah dan kampung halaman menuju ke Tanah Suci, hendaklah dengan
niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Niat inilah yang akan membezakan
apakah seseorang yang berangkat menunaikan haji benar-benar untuk memenuhi
panggilan Allah, atau sekadar pergi bersukaria. Niat menjadi dasar utama, baik
dalam ibadah haji mahupun ibadah-ibadah lainnya. Jika niat dan azamnya tidak
kuat, maka ibadahnya pun tidak akan sampai ke puncak kesempurnaan. Inilah yang
dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Sesungguhnya
setiap perbuatan itu ditentukan dengan niatnya".
(Riwayat
Bukhari)
Kedua : Ketika sampai di tempat yang dituju,
hendaklah memanfaatkan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Pergunakanlah
seberapa banyak masa untuk beribadah, memastikan rukun dan wajib dipatuhi serta
berdoa di tempat-tempat yang mustajab, InsyaAllah doa akan dimakbulkan Allah.
Perbanyakanlah ibadah sunat seperti tawaf, solat, iktikaf, membaca al-Quran,
berzikir dan beristighfar di dalam Masjidil Haram. Ini adalah kerana satu
rakaat solat di Masjidil Haram sama nilainya dengan 100,000 rakaat di
masjid-masjid lainnya dan solat di masjid Nabi lebih utama daripada 1,000
rakaat di masjid-masjid lainnya.
Ketiga : Tanah Suci Mekah dikatakan seumpama
taman mini akhirat. Ungkapan itu mengandungi erti bahawa ketika di sana,
seseorang mesti jujur pada diri sendiri. Apabila menemui kesulitan, jangan
sampai menyalahkan orang lain. Sebaliknya, hendaklah mengembalikan kesulitan
yang dihadapi itu pada diri sendiri. Ia hendaklah mencari sebab kesulitan itu pada
dirinya sendiri. Oleh sebab itu, setiap perkataan dan perbuatan hendaklah
dijaga dan dikawal supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
Keempat : Ketika berada di tengah-tengah jemaah
umat Islam di sana, janganlah mempersoalkan amalan orang lain. Di sana, kita
akan lihat pelbagai cara pelaksanaan amalan solat yang dilakukan berdasarkan
ikutan mazhab yang mereka anuti. Oleh itu, kita janganlah mempertikaikan
perbezaan amalan yang dilakukan oleh orang-orang lain.
Kelima : Ibadah haji merupakan ibadah yang
mencabar. Oleh sebab itu, orang yang hendak menunaikan haji perlu mempersiapkan
diri dengan penuh kesabaran. Dalam konteks kesabaran ini ada tiga hal yang
dihadapi; iaitu sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan, sabar di dalam
meninggalkan kemaksiatan dan larangan, serta sabar di kala menghadapi musibah
dan cubaan. Diperingkat awal kita akan diuji dengan mengorbankan segala
kesenangan serta kegiatan biasa. Namun, hati tetap sabar tanpa rasa menyesal
dan hendaklah menganggap setiap kesulitan yang dihadapi adalah sebagai
sunnatullah. Duka dan gembira, susah dan senang akan silih berganti.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ibadah haji itu dapat membentuk
manusia bersifat amanah, ikhlas, jujur dan bertanggungjawab serta melahirkan
manusia yang tawadduk dan terhindar jauh daripada sifat-sifat mazmumah (keji)
seperti takabbur, riak, sombong dan khianat. Apatahlagi diwaktu menunaikan
ibadah haji, tidak boleh berbuat kekacauan dan kefasikan. Sabda Rasulullah
S.A.W.;
"Barangsiapa
yang menunaikan haji kerana Allah, lalu tidak bercakap kotor dan tidak berbuat
jahat, maka dia keluar daripada dosa-dosanya, seperti hari ketika ia dilahirkan
oleh ibunya". (Muttafaq
‘Alaih)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ibadah haji yang dikerjakan itu
banyak mengandungi rahsia dan hikmah disebaliknya, antaranya adalah:-
1.
Memakai kain ihram
Ini adalah simbol persamaan manusia
di sisi Allah SWT. Tidak ada saudagar kaya-raya, tidak ada kaum bangsawan yang
tinggi pangkatnya dan tidak ada pula hamba abdi yang dianggap hina. Dengan
pakaian putih itu, semoga hilanglah darjat orang yang selalu merasa dirinya
tinggi, jatuhlah martabat orang yang merasa dirinya mulia, runtuhlah keangkuhan
dan kesombongan seseorang.
2.
Wukuf di Arafah
Iaitu pada 9 Zulhijjah,
mengingatkan kita kepada satu peristiwa ketika dikumpulkan para makhluk di
Padang Masyar pada hari kiamat, semua risau dan sangat khuatir, apakah amalan
yang mereka lakukan di dunia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Dengan mengingati hal ini, hati pun
tetap merendah diri dan sangat mengharap belas kasihan Allah SWT. Tidak seperti
sesetengah umat Islam yang berbuat amal hanya sedikit, tetapi sudah berani
mendakwa dirinya mendapat pahala yang besar, mereka menganggap dirinya lebih
mulia daripada orang lain. Malah ada yang lebih berani dengan mendakwa dirinya
pasti masuk syurga. Sikap seperti ini adalah simbol seorang manusia yang angkuh
dan dikuasai dengan keangkuhan yang ditiupkan oleh iblis laknatullah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita mengharapkan semoga semua
saudara kita yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini akan memperoleh haji yang
mabrur. Oleh itu, mereka hendaklah membetulkan niat sebelum melangkah ke Tanah
Suci. Bersabar menghadapi situasi di sana. Mengambil kesempatan melakukan
sebanyak mungkin amalan fardu dan sunat sepenuh masa. Pastikan diri tidak
melakukan maksiat dan dosa. Segala anggota hendaklah diawasi seperti mata,
mulut dan anggota badan pada keseluruhannya.
Umat Islam yang melaksanakan ibadah
haji secara bersungguh-sungguh akan merasa sangat terharu dan rindu untuk dapat
kembali lagi ke Tanah Suci, bahkan ada yang berharap dapat mati di sana.
Kepada kita yang belum menunaikan
fardhu Haji, maka;
1.
Beriat dan berazamlah untuk menunaikan fardhu Haji dengan segera.
2.
Berusaha untuk menyimpan wang yang mencukupi.
3.
Berusahalah menunaikannya dalam usia yang masih muda.
Berusaha mempelajari ilmu yang
berkaitan amalan haji.
"(Masa
untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh
yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadah haji itu pada bulan-bulan tersebut, maka tidak boleh mencampuri isteri
(bersetubuh) dan tidak boleh membuat maksiat serta tidak boleh bertengkar dalam
masa mengerjakan ibadah haji. Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah dan berbekallah dengan secukupnya, kerana sesungguhnya
sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (memelihara diri daripada keaiban meminta
sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat
memikir serta memahaminya)".
(Al-Baqarah: 197)
Sumber: JAIS
No comments:
Post a Comment