DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Friday 28 September 2012

"MELANGKAH KE TANAH SUCI"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita ke hadrat Allah SWT dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah SWT akan memberikan kepada kita kemudahan dan keberkatan dalam menyelusuri kehidupan di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Melangkah Ke Tanah Suci".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada saat ini, jutaan umat Islam sedang berkumpul di sekitar Baitullah al-Haram, Makkah, untuk memenuhi panggilan Allah, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hajj ayat 27;  

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhan-Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh".

Haji adalah salah satu daripada rukun Islam. Ia merupakan sendi-sendi Islam yang terkuat. Diwajibkan sekali seumur hidup. Dengan melaksanakan ibadah haji itu, akan sempurnalah Islam seseorang dan lengkaplah agamanya.

Umat Islam datang sebagai tetamu Allah untuk menyahut seruan Allah dengan satu ikrar iaitu;

"Ya Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu! YaTuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala kepujian dan nikmat bagi-Mu sahaja, dan kerajaan sebenarnya milik-Mu juga, tiada sekutu bagi-Mu (tiada Tuhan yang lain daripada-Mu)".

Membaca talbiah dengan hati yang ikhlas dan penuh khusyuk, akan mendapat berita gembira iaitu syurga Allah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya ibadah dalam Islam ada yang bersifat badaniyah, iaitu ibadah yang menitikberatkan pada kekuatan fizikal seperti solat dan puasa. Ada yang bersifat qalbiyah, iaitu ibadah yang pengamalannya pada hati, seperti zikir serta ada pula ibadah yang bersifat maliyah iaitu dengan wang seperti zakat, infaq dan sedekah.

Adapun ibadah haji adalah gabungan ketiga-tiganya iaitu badaniyah, qalbiyah dan maliyah. Badan ikut melaksanakan, hati ikut berperanan dan hartapun ikut menentukan. Ketiga-tiganya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.

Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Terpilih mendapat peluang ke Tanah Suci merupakan satu nikmat dan kejayaan dalam kehidupan seseorang hamba di sisi Allah.

Ibadah haji mentarbiyyah seseorang itu bermujahadah dengan mengeluarkan belanja yang besar, tekad yang kuat dan azam yang mendalam. Mereka mesti rela meninggalkan tanah air, keluarga yang dicintai, kesibukan kerja yang sukar ditinggalkan, menghadapi udara terlalu panas atau sejuk, dan makan minum yang terkadang tidak sesuai dengan selera. Namun, kerana panggilan Allah, mereka tetap menempuhinya dengan tabah, sehingga dengan begitu tahap keimannya menjadi semakin kukuh dan kuat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Perjalanan ibadah haji menuntut bekalan yang cukup, dan persiapan yang sempurna. Selain daripada ilmu pengetahuan, maka perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut;

Pertama       :      Ketika hendak melangkahkan kaki meninggalkan rumah dan kampung halaman menuju ke Tanah Suci, hendaklah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Niat inilah yang akan membezakan apakah seseorang yang berangkat menunaikan haji benar-benar untuk memenuhi panggilan Allah, atau sekadar pergi bersukaria. Niat menjadi dasar utama, baik dalam ibadah haji mahupun ibadah-ibadah lainnya. Jika niat dan azamnya tidak kuat, maka ibadahnya pun tidak akan sampai ke puncak kesempurnaan. Inilah yang dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda;

"Sesungguhnya setiap perbuatan itu ditentukan dengan niatnya".                                    (Riwayat Bukhari)

Kedua         :       Ketika sampai di tempat yang dituju, hendaklah memanfaatkan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Pergunakanlah seberapa banyak masa untuk beribadah, memastikan rukun dan wajib dipatuhi serta berdoa di tempat-tempat yang mustajab, InsyaAllah doa akan dimakbulkan Allah. Perbanyakanlah ibadah sunat seperti tawaf, solat, iktikaf, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar di dalam Masjidil Haram. Ini adalah kerana satu rakaat solat di Masjidil Haram sama nilainya dengan 100,000 rakaat di masjid-masjid lainnya dan solat di masjid Nabi lebih utama daripada 1,000 rakaat di masjid-masjid lainnya.

Ketiga          :       Tanah Suci Mekah dikatakan seumpama taman mini akhirat. Ungkapan itu mengandungi erti bahawa ketika di sana, seseorang mesti jujur pada diri sendiri. Apabila menemui kesulitan, jangan sampai menyalahkan orang lain. Sebaliknya, hendaklah mengembalikan kesulitan yang dihadapi itu pada diri sendiri. Ia hendaklah mencari sebab kesulitan itu pada dirinya sendiri. Oleh sebab itu, setiap perkataan dan perbuatan hendaklah dijaga dan dikawal supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.

Keempat     :       Ketika berada di tengah-tengah jemaah umat Islam di sana, janganlah mempersoalkan amalan orang lain. Di sana, kita akan lihat pelbagai cara pelaksanaan amalan solat yang dilakukan berdasarkan ikutan mazhab yang mereka anuti. Oleh itu, kita janganlah mempertikaikan perbezaan amalan yang dilakukan oleh orang-orang lain.

Kelima        :        Ibadah haji merupakan ibadah yang mencabar. Oleh sebab itu, orang yang hendak menunaikan haji perlu mempersiapkan diri dengan penuh kesabaran. Dalam konteks kesabaran ini ada tiga hal yang dihadapi; iaitu sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan, sabar di dalam meninggalkan kemaksiatan dan larangan, serta sabar di kala menghadapi musibah dan cubaan. Diperingkat awal kita akan diuji dengan mengorbankan segala kesenangan serta kegiatan biasa. Namun, hati tetap sabar tanpa rasa menyesal dan hendaklah menganggap setiap kesulitan yang dihadapi adalah sebagai sunnatullah. Duka dan gembira, susah dan senang akan silih berganti.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ibadah haji itu dapat membentuk manusia bersifat amanah, ikhlas, jujur dan bertanggungjawab serta melahirkan manusia yang tawadduk dan terhindar jauh daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti takabbur, riak, sombong dan khianat. Apatahlagi diwaktu menunaikan ibadah haji, tidak boleh berbuat kekacauan dan kefasikan. Sabda Rasulullah S.A.W.;

"Barangsiapa yang menunaikan haji kerana Allah, lalu tidak bercakap kotor dan tidak berbuat jahat, maka dia keluar daripada dosa-dosanya, seperti hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya". (Muttafaq ‘Alaih)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ibadah haji yang dikerjakan itu banyak mengandungi rahsia dan hikmah disebaliknya, antaranya adalah:-

1.   Memakai kain ihram
Ini adalah simbol persamaan manusia di sisi Allah SWT. Tidak ada saudagar kaya-raya, tidak ada kaum bangsawan yang tinggi pangkatnya dan tidak ada pula hamba abdi yang dianggap hina. Dengan pakaian putih itu, semoga hilanglah darjat orang yang selalu merasa dirinya tinggi, jatuhlah martabat orang yang merasa dirinya mulia, runtuhlah keangkuhan dan kesombongan seseorang.

2.   Wukuf di Arafah
Iaitu pada 9 Zulhijjah, mengingatkan kita kepada satu peristiwa ketika dikumpulkan para makhluk di Padang Masyar pada hari kiamat, semua risau dan sangat khuatir, apakah amalan yang mereka lakukan di dunia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.

Dengan mengingati hal ini, hati pun tetap merendah diri dan sangat mengharap belas kasihan Allah SWT. Tidak seperti sesetengah umat Islam yang berbuat amal hanya sedikit, tetapi sudah berani mendakwa dirinya mendapat pahala yang besar, mereka menganggap dirinya lebih mulia daripada orang lain. Malah ada yang lebih berani dengan mendakwa dirinya pasti masuk syurga. Sikap seperti ini adalah simbol seorang manusia yang angkuh dan dikuasai dengan keangkuhan yang ditiupkan oleh iblis laknatullah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita mengharapkan semoga semua saudara kita yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini akan memperoleh haji yang mabrur. Oleh itu, mereka hendaklah membetulkan niat sebelum melangkah ke Tanah Suci. Bersabar menghadapi situasi di sana. Mengambil kesempatan melakukan sebanyak mungkin amalan fardu dan sunat sepenuh masa. Pastikan diri tidak melakukan maksiat dan dosa. Segala anggota hendaklah diawasi seperti mata, mulut dan anggota badan pada keseluruhannya.

Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji secara bersungguh-sungguh akan merasa sangat terharu dan rindu untuk dapat kembali lagi ke Tanah Suci, bahkan ada yang berharap dapat mati di sana.

Kepada kita yang belum menunaikan fardhu Haji, maka;

1.   Beriat dan berazamlah untuk menunaikan fardhu Haji dengan segera.

2.   Berusaha untuk menyimpan wang yang mencukupi.

3.   Berusahalah menunaikannya dalam usia yang masih muda.

Berusaha mempelajari ilmu yang berkaitan amalan haji.

"(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu pada bulan-bulan tersebut, maka tidak boleh mencampuri isteri (bersetubuh) dan tidak boleh membuat maksiat serta tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan berbekallah dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (memelihara diri daripada keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir serta memahaminya)".

(Al-Baqarah: 197)

Sumber: JAIS

Thursday 27 September 2012

Penapis Air "RO Water" Di Masjid At-Taqwa






Alhamdulillah, satu perkembangan menarik di Masjid At-Taqwa Bukit Kapar. Penyediaan kemudahan 'Penapis Air RO Water' untuk para jemaah menghilangkan dahaga. Di harapkan kemudahan yang di sediakan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Saturday 22 September 2012

Mini Karnival Cinta Masjid

Alhamdulillah dengan izin Allah swt pada bulan Mei yang lalu telah diadakan satu program ' Mini Karnival Cinta Masjid ' yang telah di adakan di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar. Program yang di anjurkan pada 19 mei 2012 Sabtu, bermula jam 8 pagi-12.00 tengahari telah di rasmikan oleh YB Dr. Abdul Rani Bin Osman selakun DUN Meru. Sambutan dari masyarakat amat mengalakkan. Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya; ihtifal murid-murid sekolah agama, pertandingan memasak, persembahan lagu-lagu nasyid dari kumpulan Pawana, Tazkirah Zikir Fikir, jualan dan gerai-gerai juga di buka dengan menjual pelbagai produk dan barangan.

Semoga dengan adanya program seperti ini, akan merapatkan lagi ukhwah antara pihak masjid dengan para penduduk di Kariah dan seluruh penduduk Kampung Bukit Kapar khasnya. Dengan itu juga fungsi masjid akan lebih dekat pada hati masyarakat dan masyarakat akan terus menerus mengambil peluang untuk sama-sama mengimarahkan dan memeriahkan setiap program yang di rancang oleh pihak masjid.

Selangkah ke masjid menuju TAQWA.., Masjid Imarah Ummah Bertaqwa..!
























Gambar Ihsan dari: Blog Khidmat Masyarakat DUN Meru.




Friday 21 September 2012

SERTAI FACEBOOK KAMI



       Sertai kami dengan 'Like' Masjid At-Taqwa Bukit Kapar

Alamat Facebook kami: Masjid At-Taqwa Bukit Kapar

Mutiara Taqwa: Sikap Orang Munafik


Khutbah : "PENYELEWENGAN AJARAN JURUZON"





Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Penyelewengan Ajaran Juruzon".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 67; 

"Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang daripada perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang munafik itu, merekalah orang yang fasiq".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Umat Islam hari ini telah menghadapi berbagai penyelewengan terutamanya dari sudut aqidah. Musuh-musuh Islam sentiasa menunggu peluang untuk menyesatkan umat Islam. Kegiatan menyesatkan aqidah umat Islam telah bermula semenjak zaman nabi lagi yang telah didedahkan oleh al-Quran perihal mereka ini. Ramai orang awam terjebak dengan dakyah oleh pengembang-pengembang ajaran sesat yang tidak berputus asa menyesatkan umat Islam.

Oleh itu, mimbar jumaat pada hari ini akan menerangkan secara jelas kepada seluruh masyarakat Islam terutamanya di negeri Selangor berkenaan salah satu ajaran atau fahaman yang sesat. Ajaran ini dikenali sebagai ajaran Juruzon yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan pada 23 Februari 2012 yang lalu dan ajaran ini juga telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan pada 5 September 1996.

 Ajaran Juruzon ini telah diasaskan oleh seorang yang bernama Juruzon Bin Abd. Latif atau lebih dikenali dengan panggilan Hj. Ahmad Al-Walidi atau Pak su yang berasal daripada Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau telah menubuhkan sebuah markas yang pertama untuk mengembangkan ajarannya di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang berselindung disebalik nama Madrasah Tarikat Al-Irdiah.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Terbongkarnya ajaran ini di Selangor ialah apabila berlakunya suatu peristiwa tanah runtuh yang melibatkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang telah mengorbankan seramai 16 orang pada 21 Mei  2011 tahun lalu. Setelah disiasat, pihak berkuasa mendapati bahawa pengasas ajaran adalah orang yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan. Beliau telah membina Madrasah At-Taqwa yang bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2002 sebagai tapak baru.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
         
 Setelah berlakunya tragedi hitam ke atas madrasah tersebut, didapati madrasah ini menjadi pusat kegiatan ajaran Juruzon dan terdapat banyak penemuan serta bukti penyelewengan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antaranya ialah;

1.   Penerimaan ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak, di mana mereka meyakini akan kehadiran "Guru Ghaib" yang turun melalui badan Juruzon. Ia memberi pengajaran dan arahan kepada ahli kumpulan agar patuh dan setia melalui majlis yang dinamakan "Majlis Rabitah".

2.   Juruzon mendakwa mempunyai bacaan al-Qurannya sendiri yang turun daripada Arasy. Bahasa Arasy ini bukanlah bahasa arab seperti bahasa al-Quran, tetapi bahasa Arasy itu sendiri. Beliau juga mendakwa bahasa ini digunakan selepas mati.

3.   Amalan atau pegangan yang bersifat kepada salah laku seks yang melampau, iaitu perbuatan terkutuk ini dilakukan adalah semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwatnya.

4.   Ajaran ini juga mengkelaskan "mahram" yang bertentangan dengan syarak, yang mana amalan ini adalah bertujuan menjadikan hubungan di antara ahli-ahli kumpulan seperti adik-beradik yang menghalalkan bersalaman dan bersentuhan tanpa lapik atau bercium pipi di antara lelaki dan perempuan.

5.   Penyalahgunaan konsep zakat iaitu Juruzon mengenakan kutipan zakat kepada ahli-ahli kumpulan di antara 10-25% daripada pendapatan bulanan yang wajib diberikan setiap awal bulan dan akan berganda jika lewat dibayar, wang ini merupakan salah satu cara mengembangkan ajaran ini dengan lebih pesat.

6.   Juruzon mendakwa mendapat perintah daripada "Guru Ghaib" bahawa setiap ahli kumpulan hendaklah membuat pinjaman dan menjadi penjamin kepadanya semata-mata untuk memenuhi kehendak beliau termasuklah bayaran kereta mewah, rumah banglo dan sebagainya.

7.   Juruzon mendakwa beliau mampu untuk berinteraksi dengan roh-roh si mati lebih-lebih lagi ibubapa kepada ahli-ahli kumpulan yang telah meninggal dunia, beliau juga menyatakan bahawa roh-roh mereka ini mewasiatkan supaya anak mereka tetap bersama di dalam jemaah ini kerana jemaah ini adalah jemaah yang benar.

8.   Ajaran ini memutuskan hubungan kekeluargaan untuk melahirkan pengikut taksub, yang mana juruzon menggalakkan ibubapa di kalangan kumpulan ini menyerahkan anak-anak mereka untuk mengikuti kumpulan ini sejak berumur 12 tahun dan ada juga yang menyerahkan sejak berada dalam kandungan ibunya.

9.   Juruzon juga mengugut ibubapa yang keluar daripada kumpulan ini dengan menghasut anak-anak mereka supaya membenci ibubapa. Beliau menghalang dan memisahkan anak-anak daripada berjumpa dengan ibubapa mereka sendiri. Mereka yang keluar daripada kumpulan dianggap pembelot dan pengkhianat agama. Juruzon juga mengancam kepada ahli kumpulan yang hendak keluar denga nacaman yang menakutkan.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Mereka yang terlibat dengan ajaran ini hendaklah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana keseluruhan ajaran Juruzon ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
         
 Marilah kita bersama-sama memelihara pegangan aqidah kita dengan langkah-langkah berikut;

1.   Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dan muktamad.

2.   Setiap ajaran, fahaman atau pegangan yang menyalahi perkara asas dalam Islam seperti menolak Al-Quran dan As-Sunnah perlu dijauhi dan dihindari.

3.   Sentiasa merujuk kepada para alim ulama yang bertauliah dan institusi agama Islam yang diiktiraf bagi mengemukakan persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan syariat.

4.   Sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama daripada alim ulama yang bertauliah mengajar sebagai salah satu cara atau usaha untuk menyelamatkan diri daripada terjebak ke dalam ajaran yang menyeleweng.

5.   Memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber yang benar dan tepat.

6.   Memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama di sekolah atau institusi pendidikan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisihan (mengenai agama Islam) melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu (yang sah tentang kebenarannya) semata-mata kerana hasad dengki yang menebal di kalangan mereka. Sesiapa yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat cepat perhitungan-Nya".
                                                                                       
(Ali-‘Imran: 19)

Sumber: JAIS

Wednesday 19 September 2012

HIMPUNAN SEJUTA UMAT


SELURUH UMAT ISLAM DI JEMPUT HADIR....!

Cinta Rasulullah S.A.W




Rasulullah Idola Terunggul


Nabi Muhammad SAW merupakan contoh teladan dan idola terunggul dalam meniti arus kehidupan yang penuh pancaroba. Sama ada sebagai pemimpin negara ataupun pemimpin di dalam rumahtangga, baginda merupakan contoh teladan yang terbaik kerana memiliki sifat-sifat yang terpuji sehinggakan baginda telah diberi gelaran Al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy kerana kejujuran baginda dalam setiap perbuatan dan perkataannya.
Peribadi mulia yang dimiliki baginda Nabi Muhammad SAW bukan sahaja dikagumi umat Islam sendiri malah turut dikagumi golongan bukan Islam. Baginda sentiasa mempamerkan sikap sopan-santun, lemah-lembut dan memberikan layanan yang baik kepada semua orang tidak kira sama ada orang itu Islam atau bukan Islam. Oleh kerana keperibadian mulia baginda Rasulullah SAW, ramai golongan bukan Islam pada zaman baginda telah memeluk agama Islam kerana terpegun dan jatuh hati dengan akhlak yang dimiliki baginda.
Antara kisah yang masyhur ialah kisah baginda dengan seorang perempuan tua berbangsa Yahudi. Perempuan tua itu seringkali meletakkan najis dan duri di hadapan rumah baginda. Namun, baginda Rasulullah SAW sentiasa bersabar. Sehinggalah pada suatu hari baginda mendapati tiada kotoran di hadapan pintu rumah baginda. Maka, ketahuilah baginda SAW bahawa perempuan itu telah jatuh sakit lalu baginda telah pergi menziarahinya. Sikap baginda yang sentiasa sabar dan berbuat baik sesama manusia telah mendorong perempuan yang sering menyakiti baginda itu memeluk Islam kerana terkesan dengan akhlak mulia yang dimiliki baginda. Cukup tinggi budi pekerti baginda Rasulullah SAW.
Berdasarkan kisah tersebut, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk saling hormat-menghormati dan berbuat baik kepada setiap manusia, tidak kira Islam atau bukan Islam. Bahkan, baginda Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh kita bermusuhan hanya kerana seseorang itu tidak seagama dengan kita. Betapa indahnya akhlak baginda yang sentiasa berbuat baik kepada setiap manusia tanpa mengira bangsa atau agama. Malah, keindahan akhlak Rasulullah SAW turut disebut di dalam Al-Quran;
"Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia."
(Surah Al-Qalam, ayat 4)
Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun baginda telah lama wafat. Bahkan, Allah SWT menyuruh kita mencontohi dan meneladani akhlak baginda SAW kerana kesempurnaan akhlak yang dimiliki baginda. Firman Allah SWT;
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
(Surah Al-Ahzaab, ayat 21)
Meneliti khutbah terakhir sebelum berakhirnya usia baginda menyedarkan kita betapa kasihnya baginda terhadap kita semua sehingga menitis air mata Abu Bakar kerana beliau mengetahui bahawa Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya. Pengisian khutbah terakhir baginda banyak mengandungi nasihat untuk sekalian manusia menandakan bimbangnya baginda terhadap umat Islam yang bakal ditinggalkan. Tiada apa yang lebih dikhuatiri baginda selain akidah umatnya sehinggakan pada akhir hayat baginda, tidak lekang di bibir baginda menyebut umatku, umatku, umatku.
Betapa kasih dan cintanya baginda Nabi Muhammad kepada kita. Tanyalah diri kita apa yang telah kita lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW? Ayuhlah kita menjadi umat kesayangan baginda dengan mencontohi keperibadian baginda yang begitu indah dan mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda kerana tanpa rindu dan cinta baginda SAW kepada kita semua, tidak mungkin kita dapat mengecapi nikmat terbesar yang Allah SWT sediakan kepada kita iaitu Iman dan Islam.
Dalam meniti kehidupan di dunia, kita hendaklah mencontohi keunggulan akhlak junjungan besar kita, Rasulullah SAW yang berpandukan syariat Islam. Ketika Siti Aisyah ditanya oleh para sahabat tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab dengan singkat: "Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Qur'an." Hal ini kerana akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai Al-Quran. Oleh itu, kita diseru untuk menghayati kehidupannya, pengajarannya dan menerapkannya dalam kehidupan seharian kita kerana Rasulullah merupakan contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman.
Sesungguhnya orang yang mencintai Rasulullah dan selalu berselawat kepadanya akan menjadi orang yang paling dicintai baginda dan menduduki tempat yang hampir dengannya pada hari akhirat nanti. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia." (Hadis riwayat Anas RA)

Program Sepanjag Ramadan 1433h / 2012


Dalam bulan Ramdan 1433H yang lepas, Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar telah mengadakan pelbagai program sempena menyambut bulan Ramadan. Pelbagai program di atur bagi memberi peluang kepada para jemaah untuk sama-sama mengimarah dan memeriahkan setiap program yang di adakan. Sambutan dan penerimaan para jemaah sangat menggalakan terhadap program yang di jalankan.

Dalam kesempatan ini, pihak Pegawai dan Ajk Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar mengucapkan ribuaan terima kasih kepada seluruh para jemaah khususnya penduduk Bukit Kapar yang mengimarahkan dan memeriahkan setiap program yang di jalankan. Tahniah kepada mereka, semoga segala amalan dan kebajikan yang di lakukan di terima oleh Allah SWT sebagai amal soleh.

Berikut beberapa program yang telah di jalankan sepanjang Ramadan 1433H / 2012;

Kuliah Di Ambang Ramadan



Tazkirah Iftar Dan Tazkirah Terawih






REMAJA RAIKAN RAMADAN 1433H / 2012









FORUM NUZUL QURAN 1433H / 2012








IMAM TERAWIH PALESTIN DAN SYRIA & TAZKIRAH






TAZKIRAH TERAWIH KHAS BERSAMA DUTA AQSA SYARIF NAZRY JOHANI














PROGRAM SEMARAK KASIH RAMADAN 1433H / 2012H














BERBUKA PUASA BERSAMA YB DR ABDUL RANI OSMAN (ADUN MERU)






SEMOGA SEGALA AMAL IBADAH SEPANJANG RAMADAN YANG LALU DI TERIMA ALLAH SEBAGAI AMAL SOLEH.

INSYALLAH..JUMPA LAGI DI PROGRAM TAHUN HADAPAN..!

MUTIARA TAQWA