DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Tuesday 19 February 2013

ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH: HUKUM DAN MASLAHAT

1. Isu penggunaan kalimah Allah SWT oleh orang bukan Islam kembali hangat di Malaysia. Sama ada sengaja dijadikan isu kerana kepentingan politik atau tidak sengaja, ia tetap isu yang masih diperkatakan. Ditambah pula yang suka memberikan komen adalah dalam kalangan mereka yang bukan ahlinya. 

2. Sebahagian mengatakan ia bersangkutan persoalan akidah, dan sebahagian yang lain mengkategorikan sebagai perkara cabang dalam feqh. Lebih malang mereka yang hanya menggunakan lojik akal tanpa sebarang sandaran dalil, tetapi banyak mengaitkan dengan kepentingan (maslahat) agama Islam.
3. Saya dan rakan-rakan dalam Jabatan Pengajian Islam UPSI pernah diminta untuk berbincang tentang hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah Azza wa Jalla untuk dibentangkan dalam satu program umum peringkat universiti di Auditorium Besar. Letih juga menelaah beberapa kitab dalam masa yang singkat, tetapi yang dijemput bercakap tentang hukum ini adalah seorang professor bidang sejarah yang hanya menggunakan akal dan lojik, untuk istinbat hukum tidak boleh. Ini boleh mematikan akademik! Perlu hormati bidang dan disiplin ilmu kepada ahlinya.

Hukum orang bukan Islam guna kalimah Allah

4. Walaupun perkara yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah SWT adalah perkara akidah, tetapi apabila kita berbincang tentang hukum ia sudah masuk ke dalam bidang feqh dan usulnya. Hukum ada lima mengikut jumhur ulama’ iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Setiap hukum kepada sesuatu mesti berdiri di atas dalil. Dalil ini pula sama ada yang disepakati iaitu al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias, atau dalil yang tidak disepakati seperti istihsan, masolih mursalah, istishab dan lain-lain. Dari satu aspek lain, sebahagian besar dalil ini pendalilannya (dalalah) adalah tidak putus (dzonni).

5. Meneliti beberapa ayat al-Quran, Allah SWT menjelaskan perihal orang-orang musyrik yang apabila ditanya pencipta langit dan bumi nescaya mereka akan menjawab bahawa yang mencipta adalah Allah. Antaranya firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Zumar ayat 38 bermaksud:

Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu?

6. Juga dalam beberapa surah yang lain terdapat ayat yang hampir serupa. Allah SWT menerusi ayat ini menyatakan bahawa orang musyrik menyebut dan menggunakan perkataan Allah dalam jawapan mereka. Iaitu perkataan yang sama disebut oleh nabi SAW dan umat Islam, yang berbeza adalah keyakinan mereka terhadap maksud Allah yang mereka sebutkan.

7. Di dalam hadith pula terdapat riwayat yang menyatakan seorang musyrik menyebut dan menggunakan kalimah Allah SWT ketika memetrai perjanjian Sulh Hudaibiyah. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:

Sesungguhnya orang Quraysh membuat perdamaian dengan nabi SAW, di antara mereka adalah Suhail bin Amru. Nabi SAW berkata kepada Ali: Tuliskan bismillahi al-rahman al-rahim. Suhail berkata: Adapun bismillahi, kami tidak tahu apa itu bismillahi al-rahman al-rahim, tetapi tulislah apa yang kami tahu iaitu bismika Allahumma. (Riwayat Muslim)

8. Selain itu, diriwayatkan juga daripada Anas bin Malik bahawa ketika para sahabat duduk bersama nabi SAW di masjid, datang seorang lelaki bernama Dhimam bin Tha’labah lalu bertanya nabi SAW, katanya:

Aku ingin bertanya engkau tentang tuhan engkau dan tuhan orang sebelum engkau, adakah Allah yang mengutuskan engkau kepada seluruh manusia? Nabi SAW menjawab: Allahumma ya. (Riwayat al-Bukhari)

9. Daripada kedua-dua hadith di atas, Suhail dan Dhimam telah menggunakan dan menyebut kalimah Allah Azza wa Jalla. Kedua-duanya adalah orang bukan Islam dalam istilah kita sekarang. Nabi SAW tidak melarang dan membiarkan kedua-dua orang bukan Islam ini menyebut kalimah Allah Azza wa Jalla secara tepat dan jelas. Oleh itu hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah harus berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika dilarang dan diharamkan nescaya wujud penjelasan daripada nabi SAW ketika peristiwa itu berlaku. Kaedah feqh ada menyatakan: tidak harus melewatkan penjelasan ketika waktu ia diperlukan.

10. Ketika saya diminta untuk mewakili pihak universiti dalam satu Muzakarah Fatwa Negeri Perak yang berlangsung di Ipoh pada 2009, saya bangun  bertanya pembentang yang merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan kenalan saya, berdasarkan nas hadith riwayat Muslim di atas. Beliau sendiri memulangkan kepada peserta yang kefahaman beliau sama dengan saya bahawa hukumnya adalah harus.

11. Ada pandangan yang menolak hukum harus berdasarkan pendalilan ini dengan menyatakan bahawa penggunaan orang musyrik tersebut kerana budaya orang Arab. Mereka juga berhujjah bahawa kalimah Allah merupakan perkataan Arab. Ini juga yang disebut oleh professor sejarah tadi. Ingin ditegaskan di sini, orang Arab mempunyai tuhan mereka tersendiri yang mereka sembah sebelum kedatangan Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat 19-22 bermaksud:

Maka adakah kamu nampak bahawa al-Laat dan al-Uzza, serta Manaat yang ketiga (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki dan untuk Allah anak perempuan? Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

12. Sepatutnya mereka perlu menjawab dengan menyebut salah satu atau ketiga-tiga tuhan ini jika ada kaitan dengan budaya Arab, bukannya memilih untuk menggunakan perkataan Allah SWT. Begitu juga jika ia berkaitan dengan budaya Arab, maka kenapa kita yang melayu di Malaysia sangat sibuk dengan budaya orang, kita bukan Arab dan orang bukan Islam di Malaysia juga bukan Arab, maka tidak perlu sibuk dengan budaya orang! Mengapa perlu hingga keluar fatwa berkaitan perkataan ini semata-mata menjaga budaya Arab? Tiada maknanya. Jadi budaya Arab bukan hujjah dalam hal ini.

13. Hakikatnya perkataan Allah Azza wa Jalla adalah perkataan yang dikongsi oleh seluruh makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Kerana Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk. Manusia pula ada yang beriman dan ada yang kufur, ada yang Islam dan ada yang bukan Islam. Mengkhususkan perkataan ini hanya untuk orang Islam di Malaysia sahaja akan mengecilkan kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Maha suci Allah SWT daripada sebarang kekurangan. Adapun makna perkataan Allah SWT, ini yang berbeza di antara kita dan orang bukan Islam

Dalil Maslahat

14. Tidak dinafikan wujud kebimbangan jika kalimah Allah Azza wa Jalla ini digunakan oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia, hingga tidak dapat dibezakan di antara Allah SWT dengan tuhan yang bukan Allah SWT. Juga kebimbangan disalahguna oleh mereka. Maka pada waktu ini ada kepentingan (maslahat) untuk tidak membenarkan ia digunakan oleh orang bukan Islam dengan syarat kebimbangan itu diyakini bakal terjadi bukan kebimbangan kosong.

15. Adakah maslahat ini boleh mengubah status hukum asal iaitu harus kepada hukum lain? Dalam hal ini kita boleh menggunakan dalil yang tidak disepakati oleh para ulama’ seperti masolih mursalah (maslahat yang tiada dalil) dan sadd al-zaro’ie (tutup jalan) dalam perkara yang tiada nas. Bahkan jika ada nas sekali pun ia boleh mengkhususkan umumnya hukum asal yang berdiri di atas nas dalil. Walaupun masolih mursalah menjadi dalil bagi ulama’ al-Malikiah, namun tiga mazhab yang lain juga menerima pakai dalil ini. Syeikh kami Dr. Mustafa al-Bugha menjelaskan:

Sesungguhnya sesiapa yang menjejaki feqh para imam yang tiga (selain Imam Malik) dan ijtihad mereka dalam karya-karya mereka yang asal akan mendapati bahawa mereka semua membina hukum-hakam yang bersifat ijtihadiyah berdasarkan masalih mursalah. (Dr. Mustafa al-Bugha, Athar al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha fi al-Fiqh al-Islami)

16. Saidina Umar al-Khattab RA ketika menjadi khalifah tidak memberikan bahagian zakat mu’allafah qulubuhum (dijinakkan hati) atas dasar maslahat sedangkan nas dalil al-Qur’an menyebut dengan jelas asnaf ini sebagaimana ayat 60 surah al-Taubah. Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata:

Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan Islam dan mencukupkan bagi kamu. Sekiranya kamu teguh di atasnya, jika tidak maka di antara kami dan kamu adalah pedang. (al-Zaila’ie, Tabyiin al-Haqa’iq)

17. Tindakan Umar al-Khattab RA ini tidak bercanggah dengan nas al-Qur’an daripada surah al-Taubah, tidak menyalahi roh syari’at dan kaedah umum hukum. Kerana tujuan pemberian asnaf ini pada asalnya ketika umat Islam lemah serta pada awal Islam, dan Umar RA melihat keperluan dan maslahat itu telah tiada pada zamannya, kerana Islam dan umatnya telah kuat. Maka maslahat boleh mengkhususkan umumnya nas dalil yang boleh mengubah kepada hukum yang lain. Dan hukum ini tidak kekal selama-lamanya, akan kembali kepada hukum asal apabila sudah tiada lagi keperluan dan maslahat yang dinyatakan.

18. Oleh itu, boleh bagi kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah Azza wa Jalla berdasarkan dalil maslahat, sebagaimana boleh juga pihak kerajaan membenarkannya atas dasar maslahat. Tetapi dengan syarat hukum ini tidak kekal selama-lamanya. Pada masa yang sama hukum asal juga perlu diketahui.

19. Sebenarnya isu ini berada di peringkat ini. Namun oleh kerana di Malaysia ini semua orang adalah ‘ustaz’ feqh’ sama ada bidang sosiologi, sastera, perubatan dan lain-lain, maka isu ini menjadi hangat kerana memberi komen tanpa mengikut kaedah yang sebenar. Ketika satu pihak menyatakan hukum asal dan belum sampai kepada maslahat, pihak lain pula terus melompat ke peringkat maslahat tanpa membincangkan hukum asal. Ketika dibincangkan peringkat maslahat pula, pihak lain menyatakan hukum Islam tidak konsisten, dan sebagainya.

20. Memang ada hukum yang berubah dan tidak tetap kerana ia berdiri di atas dalil maslahat, uruf dan lain-lain yang tidak bercanggah dengan roh syari’ah. Apabila maslahat dan uruf ini berubah maka hukum turut berubah. Pada zaman nabi SAW tidak dibenarkan menetapkan harga siling (tas’iir) dalam mua’malat kerana ada nas hadith menyebut, tetapi pada zaman tabi’in membenarkannya. Pada zaman Rasulullah SAW tidak boleh mengambil unta yang terlepas lari (dhollatu al-ibil), ada nas hadith yang menyebut, tetapi Uthman bin Affan RA pada zamannya memerintahkan sebaliknya, boleh ditangkap bahkan dijual dan hasil jualan perlu diserahkan kepada kerajaan. Ini lah bukti keanjalan syari’at Islam yang sesuai dan terus sesuai pada setiap zaman. Hanya manusia yang jahil dan sombong tidak memahaminya lalu menuduh syari’at Islam tidak konsisten.

21. Marah kepada orang yang membuat cadangan dan meminta juga satu tindakan yang tidak cerdik. Pemerintah boleh sahaja memberi atau menolak kerana kuasa terletak di tangannya. Tidak cerdik kita marah orang yeng meminta sedekah daripada kita, duit berada di tangan kita, boleh memilih sama ada ingin memberi kepadanya sedekah atau tidak. Tidak cerdik juga orang lain yang melihat kejadian ini, menghebohkan kisah peminta sedekah tadi yang meminta lalu menuduhnya dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan. Bahkan lebih tidak cerdik lagi mereka yang membaca dan mempercayainya, kerana ia bukannya isu pun.

22. Kesimpulannya, orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah Azz Wa Jalla sebenarnya bukan isu. Isunya ialah mengisukan tajuk ini, sedangkan hukumnya boleh diketahui dengan kaedah feqh yang betul termasuk kajian aspek akidah menerusi orang yang ahlinya. Adakah sistem pendidikan kita dan semua Jabatan Agama Islam belum mampu melahirkan muslim yang kuat akidahnya dan baik kefahaman feqhnya tanpa mudah terpengaruh dengan sebarang isu?



Oleh : Ustaz Anhar Bin Opir  | Klik --> Blog
Ph.D Feqh Dan Usul, The World Islamic Sciences and Education University, Jordan













No comments:

Post a Comment

MUTIARA TAQWA