DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Wednesday 3 October 2012

Dunia Pertama Akhirat Utama


Riak muka melambangkan reaksinya. Serba tidak kena. Seperti banyak yang ingin diluahkan.
"Kadang-kadang aku peliklah". Katanya, ringkas.
"Kenapa?"
"Orang kita ni, senang betul nak berjaga malam. Tapi bukan untuk buat qiamullail, tapi berjaga malam untuk tengok bola."
Aku tersentap. Tak sangka juga dia berkeinginan untuk memperkatakan sedemikian, kerana dia juga antara peminat fanatik bola sepak. Aku meneguk semula air teh ais yang dibeli.
"Hmm, betul juga cakap kau, masyarakat sekarang ni kurang kesedaran untuk buat qiamullail. Ramai yang memilih dunia, berbanding akhirat. Padahal qiamullail hanya mengambil masa dalam 20-30 minit sahaja, itupun sekiranya melakukan banyak solat sunat. Kalau buat tahajud sahaja, dalam 5 minit dah habis. Tapi, ramai yang memilih untuk berjaga, dan memperhambakan diri di hadapan televisyen, selama 90 minit."
Bukan bermaksud menghalang, tetapi rebutlah ganjaran pahala.
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji"
(Suarh al-Israa' ayat 79)
Di Mana Datangnya Keikhlasan?
Suasana sepi. Seperti biasa.
"Mana jemaah kat surau ni? Subuh bukan masuk awal ke, takkan jam aku rosak lagi."
Azan dikumandangkan. Setelah 20 minit menunggu, hadir juga hamba-hamba Allah yang terpilih, dan dibukakan hati untuk datang berjemaah di surau. 3 orang semuanya.
Keesokan hari, berbeza daripada sebelumnya. Terdapat penceramah yang hadir untuk memberi kuliah subuh, yang bertajuk 'Cinta'. Jemaah yang hadir ke surau, lebih kurang 30 orang.
"Eh, jom pergi subuh, hari ni ada kuliah subuh, aku dengar ustaz ni hensem, berkerjaya lagi. Dia ni hebat dalam berhujah, tak rugi rasanya kita pergi subuh hari ni," kata salah seorang sahabat.
"Laa, semalam masa tak ada ceramah, tak nak pula kau pergi subuh."
"Hmm, semalam aku ngantuk la, hehe". Katanya sambil memberikan senyuman sinis.
Tidak salah untuk kita hadir dalam kuliah subuh, maghrib dan sebagainya. Malah, ianya dituntut dalam Islam, apabila kita menghadiri majlis ilmu.
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, iaitu kitab peringatan orang-orang yang lalai, oleh Al Fakih Abu Laits As-Samarqandi iaitu seorang ulama' salaf, diterangkan mengenai 7 kelebihan orang yang menghadiri majlis ilmu, sekiranya tidak mampu untuk mengingati atau menghafal pelajaran tersebut. Antaranya diampunkan dosa-dosa dan malaikat menaungi penuntut ilmu dengan melebarkan sayap mereka.

Tetapi, sekiranya kita mampu untuk menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh hamba Allah sendiri, pada waktu subuh terutamanya, maka, mengapa begitu berat untuk kita menghadiri jemaah Subuh di surau tiap-tiap hari, untuk mengadap Allah? Adakah kita hanya perlu hadir ke surau sekiranya terdapat majlis-majlis ilmu?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi ikhlaskanlah amalan ibadah.
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk"
(Surah at-Taubah' ayat 18)
Alah Bisa Tegal Biasa
Jam menunjukkan pukul 10.20 pagi. Ramai yang berpusu-pusu keluar dari kelas, untuk ke kantin.
"Eh, aku nak pergi surau kejap, nak buat solat dhuha, kau nak ikut?"
"Hmm, taku takutlah,  nanti kalau lambat nak pergi kantin, habis pula kuih kesukaan aku tu."
"Laa, tak sampai 5 minit pun, banyak lagi kuih tu, kalau dah ditentukan Allah yang tu rezeki kau, mesti ada punya."
"Hehe, tak pe la kot, gerak dulu." Katanya sambil berjalan menuju ke kantin.
Perkara sunat ini begitu dipandang enteng dalam kalangan masyarakat kita saban hari. Sungguhpun ia hanya solat sunat, ia sangat dituntut dalam Islam untuk melakukannya.
Sekiranya kita mampu untuk menghabiskan masa selama hampir 20 minit, untuk santapan fizikal, mengapa begitu payah untuk kita menghabiskan masa hanya 5 minit sahaja, untuk santapan rohani?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi perbanyakkanlah yang sunat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Abu Hurairah berkata; Kekasihku Rasulullah SAW berwasiat kepadaku dengan puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Duha dua rakaat dan melakukan witir sebelum tidur."
(Hadis Muttafaq 'Alaih)
Mana Satu Menjadi Keutamaan?
Cuti sekolah sememangnya amat diminati, samada pelajar mahupun guru. Masa yang begitu lapang digunakan sebaik-baiknya.
Sebuah 'status' di Facebook ditulis oleh seorang sahabat.
"Saya baru beli novel ni tiga hari lepas, dalam 604 muka surat. Seronok sangat novel ni, pasal perjuangan seorang lelaki untuk menegakkan cintanya terhadap seorang wanita. Dah habis baca, saya ingat nak bagi awak pinjam, tak rugi kalau baca."
Terbitnya bibit-bibit keinsafan, setelah membaca status itu. "Hmm, kalau novel setebal 604 muka surat mampu dibaca dalam masa tiga hari sahaja, mesti Al-Quran yang setebal 604 muka surat juga, mampu dihabiskan dalam masa tiga hari juga, kan?"
Kurangnya kesedaran dalam kalangan kita. Mudah sahaja kita menghabiskan novel atau majalah dalam masa yang singkat, tetapi begitu sukar untuk kita menghabiskan masa untuk membaca Al-Quran, sungguhpun satu muka surat.

Tiada salahnya untuk membaca novel, tetapi janganlah sehingga terlalu alpa, sehingga kita lupa membaca sebuah lagi novel yang agung, iaitu Al-Quran.
Bukan bermaksud menghalang, tetapi seimbangkanlah dunia dan akhirat.
Masih Belum Terlambat
Tidak ada istilah 'aku sudah terlambat' di dalam Islam, melainkan setelah kita mati. Pada ketika itu, tiada gunanya kita merayu kepada Allah, untuk diminta kembali semula ke dunia. Kini kita berada di alam dunia, alam yang ketiga selepas kita berada di alam janin dan alam roh. Barulah diikuti dengan alam kubur dan alam akhirat. Antara dunia dan akhirat, kita bertemu alam dunia dahulu (pertama) namun, walau pun kita bertemu dengan dunia dahulu (pertama) jadikanlah akhirat itu utama. 
Kita masih mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik. Jadilah hamba Allah yang bersyukur. Janganlah sampai kita tidak lagi diberi hidayah oleh Allah, sehingga kita dibiarkan sahaja hanyut dengan nikmat dunia. Maka pada ketika itu, kitalah hambaNya yang paling rugi.

Biodata Penulis

Aizuddin bin Abdul Hamid sedang melanjutkan pelajaran di Lancaster University, United Kingdom dalam bidang Matematik. Beliau berkongsi karya di http://resolusiaddin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

MUTIARA TAQWA