DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Saturday 20 October 2012

"ZINA, HOMOSEKS, LESBIAN MELENYAP TAMADUN UMMAH"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Zina, Homoseks dan Lesbian Melenyap Tamadun Ummah".


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Zina adalah suatu perbuatan yang amat terkutuk, keji dan kotor dan golongan yang melakukannya adalah sungguh besar dosanya serta dilaknat oleh Allah SWT. Orang yang melakukannya juga adalah melakukan perbuatan syaitan dan berada dalam kesesatan, kemungkaran yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi, institusi keluarga dan Ummah. Larangan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".
Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia dan azab di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Istilah homoseksual atau lesbian merujuk kepada hubungan seksual sesama jantina yakni lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Bahaya aktiviti homoseksual ini ialah ia akan dan telah merosakkan kekuatan moral masyarakat. Ia juga berupaya membunuh institusi kekeluargaan dan keturunan. Perlakuan homoseksual juga mencerminkan kemunduran pemikiran ummat. Aktiviti jijik ini bertanggungjawab atas tersebarnya wabak dan penyakit yang merosakkan ketamadunan manusia itu sendiri. Apabila semakin merebaknya budaya songsang ini, maka tentunya masyarakat yang terbena nanti merupakan masyarakat yang pincang moralnya.

Rasulullah saw pernah bersabda riwayat at-Tirmidzi, al-Hakim, Ibn Majah: 

"Sesungguhnya hal yang paling aku takutkan menimpa umatku adalah perbuatan kaum Luth".                                                                                                                                           

(Riwayat at-Tirmidzi)

Kemelut seks tidak normal ini semakin mengancam dunia. Sejarah menyaksikan manusia pernah ditimpa musibah akibat kegiatan homoseksual seperti mana peristiwa di zaman Nabi Lut dan juga apa yang berlaku di kota Pompei. Hakikatnya, manusia seringkali leka. Buktinya, hari ini, gejala homoseksual dan lesbian begitu berleluasa di mana ia bukan lagi tertumpu di negara Barat yang sekular, malah merebak ke negara-negara Islam.

Gejala nafsu songsang yang melanda umat manusia kini bukan lagi rahsia. Bagi mereka, adalah normal kalau lelaki mencintai lelaki, dan wanita 'bersuamikan' wanita. Tidak ada lagi rasa malu dan segan untuk memberitahu dunia bahawa mereka berjiwa songsang. Malah cuba pula untuk mempertahankan serta memperjuangkan 'hak' kononnya mereka perlu dilayan sama rata. Perlu diberi ruang menjadi sebahagian daripada kelompok dunia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81: 

"Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya, "Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?" Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Jelaslah maksud ayat di atas perlakuan homoseks ini adalah melampaui batasan Allah SWT dan ianya adalah perbuatan keji dan terkutuk.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada kejahilan ummah dan masyarakat kepada selok belok agama di samping terlalu mengejar kehidupan dunia. Ini ditambah oleh perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah dicapai melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan melampau dan pergaulan bebas yang merangsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 43-44: 

"Terangkan kepadaku (wahai Muhammad) tentang keburukan keadaan orang yang 
menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi penjaga (yangm= menjaganya supaya tidak sesat)? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (pegangan) mereka lebih sesat lagi".

Dalam masa yang sama, peniaga VCD lucah mengambil kesempatan menjual secara bebas dan berleluasa. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah. Kesemua perkara itu adalah faktor pendorong kepada pelbagai perlakuan maksiat dan perzinaan.

Sempena sambutan Hari Kekasih, sambutan 31 Ogos dan sambutan Tahun Baru setiap tahun, Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk meneruskan program-program yang membawa masyarakat kepada kebaikan serta menjauhi kemungkaran. Setiap tahun setiap kali sambutan diadakan, kedengaran pelbagai isu terutama yang melibatkan gejala sosial dalam masyarakat oleh sebahagian masyarakat semua lapisan seperti pergaulan bebas yang menyebabkan pelbagai gejala tidak baik seperti zina, hubungan seks bebas dan sebagainya atas alasan kerana menyambut kedatangan perayaan tersebut. Dalam hubungan ini JAIS melalui pendekatan dakwah, melancarkan Gerakan Anti Zina dan Kaunseling yang bertujuan untuk membendung dan mencegah dari berleluasanya budaya songsang yang akan melenyapkan tamadun ummah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Fenomena yang berlaku itu, perlulah kita sama-sama menyedari dan menginsafi akan kesan yang akan membawa kerosakan kepada keturunan institusi keluarga dan boleh memporak-perandakan masyarakat dan melenyapkan tamadun manusia. Antara langkah-langkah yang dapat kita lakukan segera oleh umat Islam ialah:

Pertama       :      Carilah altenatif di setiap sambutan yang dirayakan itu dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaan" Baiti Jannati " iaitu (Rumahku Syurgaku).

Kedua          :      Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar dan muda mudi ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forum-forum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia disisi Allah.

Ketiga           :      Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat termasuk Ngo hendaklah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Keempat       :     Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran dan segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya di media-media.

Kelima          :      Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.

Keenam        :     Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai.

Ketujuh        :       Media cetak dan elektronik hendaklah menghindari daripada menyiarkan unsur-unsur yang menimbulkan kelucahan dan merangsang nafsu syahwat. Alangkah malangnya sekiranya media-media yang dimiliki oleh orang Islam juga turut menyumbangkan ke arah unsur-unsur kelucahan tersebut. 

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya".                                                                                                                                                                                                                                 

(Al-A'araf : 33)

Sumber: JAIS

No comments:

Post a Comment

MUTIARA TAQWA