DEMI MASA

ISLAM YANG SYUMUL

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِي

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 208)

Saturday 20 October 2012

Mutiara Taqwa: Jauhi Perbuatan Keji


"ZINA, HOMOSEKS, LESBIAN MELENYAP TAMADUN UMMAH"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Zina, Homoseks dan Lesbian Melenyap Tamadun Ummah".


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Zina adalah suatu perbuatan yang amat terkutuk, keji dan kotor dan golongan yang melakukannya adalah sungguh besar dosanya serta dilaknat oleh Allah SWT. Orang yang melakukannya juga adalah melakukan perbuatan syaitan dan berada dalam kesesatan, kemungkaran yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi, institusi keluarga dan Ummah. Larangan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".
Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia dan azab di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Istilah homoseksual atau lesbian merujuk kepada hubungan seksual sesama jantina yakni lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Bahaya aktiviti homoseksual ini ialah ia akan dan telah merosakkan kekuatan moral masyarakat. Ia juga berupaya membunuh institusi kekeluargaan dan keturunan. Perlakuan homoseksual juga mencerminkan kemunduran pemikiran ummat. Aktiviti jijik ini bertanggungjawab atas tersebarnya wabak dan penyakit yang merosakkan ketamadunan manusia itu sendiri. Apabila semakin merebaknya budaya songsang ini, maka tentunya masyarakat yang terbena nanti merupakan masyarakat yang pincang moralnya.

Rasulullah saw pernah bersabda riwayat at-Tirmidzi, al-Hakim, Ibn Majah: 

"Sesungguhnya hal yang paling aku takutkan menimpa umatku adalah perbuatan kaum Luth".                                                                                                                                           

(Riwayat at-Tirmidzi)

Kemelut seks tidak normal ini semakin mengancam dunia. Sejarah menyaksikan manusia pernah ditimpa musibah akibat kegiatan homoseksual seperti mana peristiwa di zaman Nabi Lut dan juga apa yang berlaku di kota Pompei. Hakikatnya, manusia seringkali leka. Buktinya, hari ini, gejala homoseksual dan lesbian begitu berleluasa di mana ia bukan lagi tertumpu di negara Barat yang sekular, malah merebak ke negara-negara Islam.

Gejala nafsu songsang yang melanda umat manusia kini bukan lagi rahsia. Bagi mereka, adalah normal kalau lelaki mencintai lelaki, dan wanita 'bersuamikan' wanita. Tidak ada lagi rasa malu dan segan untuk memberitahu dunia bahawa mereka berjiwa songsang. Malah cuba pula untuk mempertahankan serta memperjuangkan 'hak' kononnya mereka perlu dilayan sama rata. Perlu diberi ruang menjadi sebahagian daripada kelompok dunia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81: 

"Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya, "Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?" Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Jelaslah maksud ayat di atas perlakuan homoseks ini adalah melampaui batasan Allah SWT dan ianya adalah perbuatan keji dan terkutuk.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada kejahilan ummah dan masyarakat kepada selok belok agama di samping terlalu mengejar kehidupan dunia. Ini ditambah oleh perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah dicapai melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan melampau dan pergaulan bebas yang merangsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 43-44: 

"Terangkan kepadaku (wahai Muhammad) tentang keburukan keadaan orang yang 
menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi penjaga (yangm= menjaganya supaya tidak sesat)? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (pegangan) mereka lebih sesat lagi".

Dalam masa yang sama, peniaga VCD lucah mengambil kesempatan menjual secara bebas dan berleluasa. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah. Kesemua perkara itu adalah faktor pendorong kepada pelbagai perlakuan maksiat dan perzinaan.

Sempena sambutan Hari Kekasih, sambutan 31 Ogos dan sambutan Tahun Baru setiap tahun, Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk meneruskan program-program yang membawa masyarakat kepada kebaikan serta menjauhi kemungkaran. Setiap tahun setiap kali sambutan diadakan, kedengaran pelbagai isu terutama yang melibatkan gejala sosial dalam masyarakat oleh sebahagian masyarakat semua lapisan seperti pergaulan bebas yang menyebabkan pelbagai gejala tidak baik seperti zina, hubungan seks bebas dan sebagainya atas alasan kerana menyambut kedatangan perayaan tersebut. Dalam hubungan ini JAIS melalui pendekatan dakwah, melancarkan Gerakan Anti Zina dan Kaunseling yang bertujuan untuk membendung dan mencegah dari berleluasanya budaya songsang yang akan melenyapkan tamadun ummah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Fenomena yang berlaku itu, perlulah kita sama-sama menyedari dan menginsafi akan kesan yang akan membawa kerosakan kepada keturunan institusi keluarga dan boleh memporak-perandakan masyarakat dan melenyapkan tamadun manusia. Antara langkah-langkah yang dapat kita lakukan segera oleh umat Islam ialah:

Pertama       :      Carilah altenatif di setiap sambutan yang dirayakan itu dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaan" Baiti Jannati " iaitu (Rumahku Syurgaku).

Kedua          :      Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar dan muda mudi ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forum-forum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia disisi Allah.

Ketiga           :      Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat termasuk Ngo hendaklah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Keempat       :     Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran dan segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya di media-media.

Kelima          :      Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.

Keenam        :     Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai.

Ketujuh        :       Media cetak dan elektronik hendaklah menghindari daripada menyiarkan unsur-unsur yang menimbulkan kelucahan dan merangsang nafsu syahwat. Alangkah malangnya sekiranya media-media yang dimiliki oleh orang Islam juga turut menyumbangkan ke arah unsur-unsur kelucahan tersebut. 

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya".                                                                                                                                                                                                                                 

(Al-A'araf : 33)

Sumber: JAIS

Kepentingan Ilmu Dalam Berbicara



Dalam menghadapi liku liku hidup, kita pasti sesat dalam mencari laluan kehidupan, jika sekiranya kita tidak mempunyai ilmu, bak kata pepatah "ilmu penyuluh hidup" atau "ilmu penyeri hidup". Ilmu perlu dicari dan diteroka untuk kebaikan diri dan juga manusia sejagat. Ilmu juga adalah pemangkin kepada kehidupan.
Mencari ilmu dunia dan akhirat bukan lah senang, untuk dapat ilmu yang baik, ada banyak cabaran dan juga dugaan. Ilmu yang tidak baik senang untuk diperolehi. Namun kedua-duanya dapat dikategorikan sebagai ilmu dan mencari ilmu itu adalah satu kewajipan kepada setiap manusia.
Allah berfirman, ertinya;
"Dan janganlah engkau ikuti apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang-nya, sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati semuanya itu akan di tanya"
(Surah al-Isra' ayat 36)
Ayat di atas menerangkan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang apa yang dibincangkan usah la berbicara kecuali ada pandangan. Pandangan di sini bermaksud, kita mendapat persefahaman tentang apa yang dibicarakan. Namun pandangan tersebut mestilah betul dan mengikut fakta.
Dan sabda Nabi :
"Barang siapa berbicara tentang al Qur'an dengan akal nya atau tidak dengan ilmu, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di neraka"
(Hadist seperti ini ada dari 2 jalan, yaitu Ibnu Abas dan Jundub. Lihat Tafsir Qur'an yang diberi mukaddimah oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Arnauth hal. 6, Tafsir Ibnu Katsir dalam Mukaddimah hal. 13, Jami' As-Shahih Sunan Tirmidzi jilid 5 hal.183 no. 2950 dan Tuhfatul Ahwadzi jilid 8 hal. 277)
Berwaspadalah ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Sekiranya ilmu yang disampaikan itu adalah salah dan boleh membawa kepada fitnah, besar dosanya buat kita. Zaman sekarang, ramai di antara kita yang sudah mula mengenali "Freedom of Speech", di mana, kita bebas untuk bersuara tidak kira usia, pangkat dan juga ilmu di dada. Apa yang tersirat di dalam hati, dapat kita luahkan begitu sahaja tanpa mengenal baik buruknya.

Sentiasa beringat tentang ilmu yang diperolehi, mungkin ilmu itu bakal berguna pada kita kelak, namun oleh kerana sudah merasa ilmu itu sudah cukup, kita mampu untuk memberi hujah dan nasihat kepada mereka yang dianggap kurang ilmu.
Ilmu datangnya dari pembelajaran dan juga pengalaman. pengalaman akan mengajar kita erti kesabaran. Ada yang mengata kesabaran dalam menuntut ilmu selalunya akan mendapat keredhaanNya. Namun, kita perlu tahu, ilmu itu adakah baik atau sebaliknya?
Orang-Orang salaf berkata : "Waspadalah terhadap cubaan orang berilmu yang buruk (ibadahnya) dan ahli ibadah yang bodoh." (Al-wala'wal bara' hal. 230)
Ramai di antara kita sudah terpedaya dengan kata-kata yang tak diteraskan dengan ilmu yang baik. Sama samalah kita momohon supaya dihindari perkara sebegini. Sentiasa bermunajat dan beristighfar kepadaNya supaya ilmu yang diperoleh tidaklah menyebabkan pengamal itu merana.
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang bermanfaat dan amal yang diterima" (Hisnul Muslim, hal. 44 no. 73).
Allah mengingatkan kita di dalam kitabNya yang bermaksud; 
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya"
(Surah al-Baqarah ayat 42)
Setiap ilmu yang dianugerahkan kepada kita, akan ada masanya ilmu itu akan diduga oleh Allah kepada kita. Namun, setiap manusia juga dikurniakan akal olehNya untuk berfikir sama ada ilmu itu baik atau buruk baginya. Jika ia buruk, bersamalah kita untuk meninggalkannya. Jika ilmu itu baik, sama-samalah kita untuk berkongsi dengan semua.
"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"
(Surah al-Baqarah ayat 208)
Walaubagaimanapun, setiap ilmu itu ada batasnya. Ilmu itu akan mengikut keimanan seseorang untuk menterjemahkan ia sebagai pengangan hidup. Adakala ilmu yang diperoleh terlalu tinggi, sehingga mengakibatkan dirinya tidak dapat menanggung segala dugaan yang menimpanya.
Oleh itu, beramal lah dengan ilmu itu sebaik baiknya. Lengkapkan diri dengan kekuatan iman yang kuat supaya dapat menjadi kulit kepada ilmu yang menjadi manisan di dalamnya.

Biodata Penulis

Luqmanhakim merupakan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Kimia (Biotek) di Universiti Islam Antarabangsa. Berkongsi karya di http://lhthebest12.blogspot.com

Monday 15 October 2012

"BANGKIT PERTAHAN KESUCIAN ISLAM"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Bangkit Pertahan Kesucian Islam".
                                                                          
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Beberapa minggu yang lalu, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan lagi dengan penyiaran filem yang menghina Rasulullah S.A.W, yang sekaligus menghina Islam. Lantaran itu mimbar turut terpanggil untuk membicarakan isu mempertahan kesucian Islam pada khutbah kali ini sebagai menyatakan rasa marah, tidak puas hati dan terkilan terhadap penerbit dan Negara yang dengan sengaja menerbitkan filem yang menghina Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya sudah terlalu banyak tulisan-tulisan yang menghina Islam yang disiarkan.

Antara penghinaan tersebut ialah penulisan buku versi setan oleh Salman Rusdi, 1989,  Taslima Nasreen, warga Bangladesh pada tahun 1990 dan laman web yang muncul pada tahun 2011. Laman web ini telah meletakkan gambar perempuan bercoli dan berseluar dalam serta diikuti gambar babi dan berbagai lagi objek jijik dan diletak di atas kaabah.

Nampaknya siri terbaru penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. dan Islam melalui filem innocence of MUSLIMS, (Muslim yang tak berdosa) yang antaranya  memaparkan watak, kononnya rasul S.A.W. gila seks. Di sana sini kedengaran suara bantahan daripada individu-individu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik dan masyarakat awam terhadap pihak yang membuat filem jahat tersebut. Mereka menuntut supaya penerbitnya atau negara yang membenarkan penerbitan filem tersebut memohon maaf kepada masyarakat Islam seluruhnya. Malahan yang lebih membanggakan lagi pihak bukan Islam juga turut mengecam pembikinan filem tersebut yang amat tidak bertanggung jawab kerana ianya telah mewujudkan perasaan kebencian dikalangan pelbagai agama.

Ekoran darinya maka umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia telah bertindak menzahirkan amarahnya dengan membuat demonstrasi besar-besaran. Umat Islam memang peka dan sensitif, bertindak mempertahankan agama dan Rasul-Nya dari terus dihina atau dipermainkan.

Umat Islam tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba menghina Islam dengan apa jua cara. Umat Islam hendaklah mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap apa jua usaha oleh mana-mana pihak yang berniat jahat yang cuba menghina dan mempersenda Islam dan Rasul-Nya secara terbuka. Perlu ditegaskan bahawa setiap umat Islam mesti memiliki perasaan, kepedulian, kepekaan  dan mujahadah yang mantap, kuat, kental dan semangat  jihad yang tinggi sehingga sanggup bertindak bila-bila sahaja bagi mempertahan Islam daripada  terus dihina atau dicabar oleh sesiapa sahaja.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Disinilah pentingnya setiap individu Muslim, NGO-NGO Islam, parti-parti politik, jabatan dan agensi yang menjaga pengurusan hal ehwal Islam termasuk kerajaan perlu mempunyai tasawwur Islam yang jelas, halus dan teliti dan sepatutnya tampil secara bersatu dan bersepakat membantah terhadap pihak yang melakukan penghinaan ke atas  Islam dan  rasul S.A.W. Pada masa yang sama semua pihak juga kena sedar dan bertanggungjawab supaya dapat mengawal setiap kegiatan yang dijalankan sama ada atas nama seni , kebebasaan berkarya,  kebebasan bersuara, kebebasan berpendapat dan sebagainya yang memang dibenarkan tetapi hendaklah berasaskan tanggungjawab disamping tidak mempermainkan keharmonian kehidupan beragama. Suasana ini hendaklah difahami dan dijaga, kerana Islam juga tidak membenarkan menghina agama lain secara terbuka.

Oleh itu, sebarang tindakan untuk menimbulkan kebencian oleh mana pihak merupakan tindakan yang tidak bertamadun, mundur dan akan menjadikan kehidupan tidak aman. Tindakan ini sudah pasti akan mewujudkan kesan negatif yang berterusan kerana adanya tindak balas dari pihak yang tidak berpuashati kerana kepercayaan mereka telah dihina. Sesungguhnya pencabulan atau penghinaan terhadap mana-mana agama termasuk Islam, bukanlah lambang kebebasan sebenar. Ia hanyalah kebebasan yang tidak bertanggungjawab kerana mengundang kemarahan dan bakal menyusahkan banyak pihak kerana reaksi dan tindak balas yang akan timbul, seperti yang terjadi sekarang. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 108; 

"Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengetahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu kepada mereka apa yang mereka telah lakukan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini ingin menyeru umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah dan menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan, antaranya;

Pertama        :     Semua pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengawal, menyekat dan menghalang segala bentuk maklumat yang menghina Islam dan rasul-Nya hendaklah bertindak dengan pantas agar ianya tidak dapat ditontoni umum melalui apa jua saluran media.

Kedua           :     Kita perlu bersatu menyatakan bantahan ke atas penerbit dan Negara yang membenarkan dakyah penghinaan terhadap Islam dan Rasul-Nya. Bantahan ini hendaklah dilakukan secara berterusan hingga ke semua peringkat.

Ketiga            :     Pihak wisma putra hendaklah membuat nota bantahan terhadap Negara yang terbabit agar berhati-hati di masa akan datang supaya tidak lagi mengeluarkan bahan yang boleh menghina Islam.

Keempat        :    Terus memboikot pembelian atau penggunaan terhadap barangan keluaran Negara yang membenarkan penerbitan bahan yang menghina Islam, kita mulakan dengan yang mudah dahulu dengan tidak membeli barangan yang diguna selalu dan mengalihkannya dengan membeli barangan tempatan.

Pada masa yang sama, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia hendaklah bersatu mempertingkat dan memperkemas urus tadbir khususnya dalam bidang  kawalan media supaya dapat bertindak dengan lebih cepat dan pantas ke arah mengekang unsur tersebut. kita bertindak secara proaktif yakni sentiasa mencari maklumat yang menghina islam dan terus bertindak ke atasnya agar tidak disebarkan dengan meluas.

Di samping itu, umat Islam hendaklah istiqamah dengan usaha mencegah kemungakaran, bukan sekadar kelihatan bersemangat berdemonstrasi pada waktu membantah filem yang menghina Islam tetapi pada masa yang sama pula tidak yakin dengan pelaksanaan syariat Islam yang syumul. Keadaan ini tentulah berlawanan dan malahan boleh merosak aqidah.  Ini adalah satu kenyataan yang dapat dilihat dimana masih ada  orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang meragui kesempurnaan Islam. Terlebih malang lagi apabila pihak yang bertanggunjawab dan mempunyai kuasa mengawal fenomena ini tidak membuat sebarang tindakan bagi memperbetul keadaan. Ianya kelihatan seolah-olah mereka turut membenar dan merestui berlakunya keadaan ini.

Terakhir, umat Islam kena membanyakkan doa setelah pelbagai usaha tadi dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT boleh melakukan apa sahaja dibawah kekuasaannya untuk mengatasi puak atau pihak yang jahat tersebut, dengan syarat umat Islam benar-benar mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangannya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kesimpulannya, memang umat islam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sengaja menghina islam dengan apa jua cara. Jadi, umat Islam mesti sentiasa melakukan usaha memberi nasihat, menegur dan memperbetul segala kesalahan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menghina Islam. Kita tidak boleh membiarkan kejahilan, kebodohan, kebebalan dan kemungkaran seumpama ini berterusan. Apatahlagi jika ianya di buat dengan menyatakan fakta yang tidak betul,  tuduhan liar, fitnah dan melahirkan rasa kebencian yang tinggi terhadap islam. 

Sesungguhnya umat Islam mempunyai peranan besar dalam  arena dakwah ke arah; mendidik, membimbing dan memimpin umat, dengan pendekatan yang bijaksana dan berhikmah. Usahakanlah kegiatan membuat dan menyiarkan bahan-bahan, termasuk filem, video, animasi, artikel, rencana yang boleh menangkis apa sahaja serangan terhadap Islam disamping ianya dapat memberikan maklumat yang benar mengenai islam. 

"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)".  Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman antara kamu". Orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih".

Sumber: JAIS

Mutiara Taqwa: Jangan Menghina Agama Lain


Jadual Kuliah Dan Pengajian OKTOBER 2012 Minggu Ke-3


JOM MERIAH DAN IMARAHKAN...!

Friday 5 October 2012

Mutiara Taqwa: TAATI IBU BAPA


Kasihi Ibu Sayangilah Ayah


Menjadi perkara biasa jika yang biasa kita dengar, kisah anak-anak yang menderhaka terhadap ibubapa. Tetapi yang mungkin berbeza suasananya kisah ibubapa yang menderhaka terhadap anak-anak. Mungkin ada yang pernah dengar, atau terbaca di mana-mana artikel. Apapun kisah yang saya dengar ini benar-benar memberi impak dan membuat aku berfikir sejenak.
Dalam satu kisah yang masyhur di zaman Saidina Umar al-Khattab, seorang khalifah yang terkenal dengan ketegasan dan keadilan di dalam pemerintahannya, beliau telah didatangi oleh seorang lelaki tua yang mengadu tentang anaknya yang dikatakan menderhaka kepadanya. Bagi mendapatkan keadilan kedua-dua belah pihak, Umar al-Khattab lantas memanggil anak kepada lelaki tersebut bagi mendapatkan kebenaran tentang 'tuduhan' bapa kepada anak muda itu.
Lantas, Syaidina Umar pun bertemu dengan anak lelaki tua tersebut. Dan, ketika Umar al-Khattab menemui anak muda itu, pemuda itu melontarkan suatu pertanyaan kepada khalifah setelah di'brainwash' oleh khalifah yang bijaksana itu tentang anak derhaka. Pemuda itupun mengaku memang dia derhaka.
Apakah pula soalan pemuda terhadap Saidina Umar al-Khattab? Permuda itu bertanya;
"Apakah ada ibubapa yang melakukan penderhakaan terhadap anak-anak mereka?"
Umar al-Khattab berfikir sejenak dan menjawab: "Ya, memang ada dalam tiga keadaan ini iaitu..."
1) Lelaki yang memilih isteri di kalangan wanita yang fasik dan tidak berusaha mengubahnya menjadi baik setelah mengahwininya.
2) Lelaki yang tidak memberi nama yang baik kepada anak-anaknya, yang mana nama tersebut akan dipanggil bersama-sama namanya di akhirat kelak.
3) Lelaki yang tidak berusaha mengajar anak-anaknya al-Quran.
Sebagai seorang anak, kita mungkin berhadapan dengan salah-satu daripada keadaan yang diceritakan oleh Saidina Umar al-Khattab dalam kisah yang masyhur itu. Tetapi, adilkah menyalahkan ibubapa yang telah melahirkan kita ke dunia ini 100%?
Benar, ibu ataupun bapa kita mungkin bukan para asatizah mahupun seorang hafiz atau hafizah. Namun, kita masih mampu mengubahnya. 
Mungkin ada antara kita yang akan bertanya:
"Tapi aku bukan graduan sekolah agama, bagaimana? "
Tapi keluarga aku bukan di kalangan ustaz mahupun ustazah, bagaimana?"
Saya juga pernah bertanya sedemikian soalan kepada diri saya sendiri. Seperti saya, mungkin juga ada antara kalian yang tidak mendapat pendidikan secara formal tentang Islam mahupun bertuah dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan Islam.
Kalian mungkin seorang jurutera, pereka, peguam mahupun pegawai sesebuah organisasi, tetapi tidak dapat tidak, mungkin juga kalian seperti saya yang selalu membayangkan diri kalian sebagai seorang yang ahli dalam beberapa perkara mengenai Islam.
Di saat itu, mulalah keluar segala 'begini, begitu asbab dari diri merasa serba tahu tentang Islam. Jika seorang ayah atau ibu memberi nasihat, cukuplah kita mendengarnya dan mematuhinya selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Meskipun mungkin ilmu dan kelulusan kita lebih tinggi daripada ibu bapa kita, jangan kita meng 'counter' setiap pesanan orang tua kita. Walau mereka mungkin tidak sekolah setinggi langit seperti kita, namun hakikatnya pengalaman mereka melebihi kita. Bukankah pengalaman itu adalah sebaik-baik guru?

Kita belajar lebih cenderung kepada 'teori' semata. Membaca, berbincang, menjawab peperiksaan dan segala macam 'teori' kita teroka. Satu buku tebal kita khatam hingga lumat di memori kita. Wal hal antara teori dan praktikal, bukankah ilmu 'praktikal' itu lebih tinggi 'nilai'nya dalam menjalani kehidupan? Maka, ikhlaskanlah hati kita mendengar setiap butir bicara ibu kita.. Dengarkan dahulu apa yang hendak diperkatakan oleh ayah kita. Semuanya insyaAllah demi kebaikan kita semata-mata.
Namun, jika jelas ibu bapa kita kurang 'agama' nya, maka sebagai anak juga bertanggungjawab ke atas keluarganya. Berusaha mencari ilmu agama dan praktikkan bersama-sama keluarga. Jika ibu ayah seakan ego untuk menerima, usah putus asa dalam mengajak kebaikan. Berusaha dan teruskan berusaha. Gunakanlah pendekatan yang paling lembut dalam ajakan dakwah. Serta doakanlah sentiasa, semoga Allah memberi hidayah dan membuka pintu hati ibu ayah kita untuk menerima. Sesungguhnya doa itu senjata umat islam yang paling ampuh. Maka berdoalah selalu.
Insya-Allah, kita masih mampu mengubahnya! Mulakan langkah! Ini yang patut kita, saya dan pembaca lakukan. Marilah sama-sama menjadikan diri kita lebih baik dari semalam dan istiqomah dalam setiap perkara baik yang kita lakukan.
Jadilah 'trendsetter' di dalam keluarga bagi mengubah keadaan kepada apa yang kita mahu. Kalaupun kita bukan seorang da'ie, sekurang-kurangnya kita tidak menjadi seperti lelaki tua yang diceritakan di dalam kisah di zaman Saidina Umar al-Khattab itu.
"Whatever you want your children to be tomorrow, be that person today." - (Shaykh Abdul Nasir Jangda)

Biodata Penulis

Noraishahtul Hana Husin merupakan graduan Komunikasi Massa UiTM dan berkhidmat di dalam sebuah organisasi swasta. Masih berusaha menjadi lebih baik daripada semalam, Insya-Allah.

"KEHIDUPAN DI USIA SENJA"




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Kehidupan Di usia Senja".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada setiap tahun tanggal 1 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia. Hari tersebut disambut bagi mengenangkan jasa dan pengorbanan warga emas yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa  dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua  jika dikurniakan oleh Allah SWT.

Sama ada suka ataupun tidak suka, mahu ataupun tidak mahu, kita harus menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan beralih menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan Allah. Rasulullah S.A.W. berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."

(Riwayat Al-Tabrani)

Hadis ini mensyaratkan bahawa Islam amat menuntut umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada orang tua sama ada ibu bapa, kaum kerabat dan sesiapa saja yang mencapai usia tua.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Menghormati serta menghargai warga tua bererti berbuat baik kepada mereka dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas di samping tidak sekali-kali  cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak. Sejak awal lagi Islam  telah menuntut anak-anak dan masyarakat seluruhnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada warga tua apatah lagi kepada  kedua ibu bapa kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israa' ayat 23 dan 24:

"Dan Tuhan Mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya denganpenuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

Melalui ayat ini, kita dapat lihat bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan kewajipan terpenting sesudah menyembah dan mengabdi diri kepada Allah SWT. Ini bermakna, anak-anak dan generasi muda tidak boleh sama sekali mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab mereka kepada kedua orang tua masing-masing.  Dan tuntutan berbuat baik kepada mereka meliputi pelbagai aspek.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dewasa kini jelas kita lihat berlakunya sikap mengabaikan tanggungjawab terhadap orang-orang tua termasuk ibu bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat kita. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat anak yang sanggup mendera dan mencederakan ibu bapa. Malah, pernah terjadi anak membunuh orang tuanya disebabkan tamak kepada wang atau harta.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2010 seramai 1436 orang-orang tua telah direkodkan kemasukan ke rumah-rumah kebajikan. Jumlah ini bertambah kepada 1804 orang pada tahun 2011. Dari Januari hingga Julai 2012, seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dari jumlah tersebut 982 orang adalah orang melayu Islam.19% dari jumlah kemasukan kerumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian dan dipinggir oleh keluarga sendiri. 26% berkaitan masalah penjagaan, manakala 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Ini suatu jumlah yang membimbangkan masyarakat hari ini. Amat mengecewakan lagi, ada dikalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, namun mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan?

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan di sepanjang hayat, pengorbanan yang dicurah siang-malam, tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir daripada kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan. Sebuah Hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Ada tiga jenis manusia yang dilaknat oleh Allah SWT iaitu: orang yang membenci kedua ibu bapanya, orang yang berusaha menceraikan pasangan suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut diceraikan, maka ia pula sebagai ganti suaminya dan orang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara mereka dengan hasutan-hasutannya".                                     

(Riwayat Ad-Dailami)

Ingatlah! Apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan  dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih dan sayang terhadap ibu-bapa  setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Kita perlu sedar bahawa ibu-bapa yang tidak redha dengan sikap keji anak-anak akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibu-bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan penderhakaan terhadap Allah SWT. Maka rebutlah  peluang dan kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka ketika mana mereka masih hidup lagi di dunia ini. 

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya denganpenuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

(Al-Israa': 24)

Sumber: JAIS

Wednesday 3 October 2012

KULIAH MAGHRIB UMUM SEPANJANG OKTOBER 2012 / 1433H

JOM MERIAH DAN IMARAHKAN....!

Dunia Pertama Akhirat Utama


Riak muka melambangkan reaksinya. Serba tidak kena. Seperti banyak yang ingin diluahkan.
"Kadang-kadang aku peliklah". Katanya, ringkas.
"Kenapa?"
"Orang kita ni, senang betul nak berjaga malam. Tapi bukan untuk buat qiamullail, tapi berjaga malam untuk tengok bola."
Aku tersentap. Tak sangka juga dia berkeinginan untuk memperkatakan sedemikian, kerana dia juga antara peminat fanatik bola sepak. Aku meneguk semula air teh ais yang dibeli.
"Hmm, betul juga cakap kau, masyarakat sekarang ni kurang kesedaran untuk buat qiamullail. Ramai yang memilih dunia, berbanding akhirat. Padahal qiamullail hanya mengambil masa dalam 20-30 minit sahaja, itupun sekiranya melakukan banyak solat sunat. Kalau buat tahajud sahaja, dalam 5 minit dah habis. Tapi, ramai yang memilih untuk berjaga, dan memperhambakan diri di hadapan televisyen, selama 90 minit."
Bukan bermaksud menghalang, tetapi rebutlah ganjaran pahala.
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji"
(Suarh al-Israa' ayat 79)
Di Mana Datangnya Keikhlasan?
Suasana sepi. Seperti biasa.
"Mana jemaah kat surau ni? Subuh bukan masuk awal ke, takkan jam aku rosak lagi."
Azan dikumandangkan. Setelah 20 minit menunggu, hadir juga hamba-hamba Allah yang terpilih, dan dibukakan hati untuk datang berjemaah di surau. 3 orang semuanya.
Keesokan hari, berbeza daripada sebelumnya. Terdapat penceramah yang hadir untuk memberi kuliah subuh, yang bertajuk 'Cinta'. Jemaah yang hadir ke surau, lebih kurang 30 orang.
"Eh, jom pergi subuh, hari ni ada kuliah subuh, aku dengar ustaz ni hensem, berkerjaya lagi. Dia ni hebat dalam berhujah, tak rugi rasanya kita pergi subuh hari ni," kata salah seorang sahabat.
"Laa, semalam masa tak ada ceramah, tak nak pula kau pergi subuh."
"Hmm, semalam aku ngantuk la, hehe". Katanya sambil memberikan senyuman sinis.
Tidak salah untuk kita hadir dalam kuliah subuh, maghrib dan sebagainya. Malah, ianya dituntut dalam Islam, apabila kita menghadiri majlis ilmu.
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, iaitu kitab peringatan orang-orang yang lalai, oleh Al Fakih Abu Laits As-Samarqandi iaitu seorang ulama' salaf, diterangkan mengenai 7 kelebihan orang yang menghadiri majlis ilmu, sekiranya tidak mampu untuk mengingati atau menghafal pelajaran tersebut. Antaranya diampunkan dosa-dosa dan malaikat menaungi penuntut ilmu dengan melebarkan sayap mereka.

Tetapi, sekiranya kita mampu untuk menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh hamba Allah sendiri, pada waktu subuh terutamanya, maka, mengapa begitu berat untuk kita menghadiri jemaah Subuh di surau tiap-tiap hari, untuk mengadap Allah? Adakah kita hanya perlu hadir ke surau sekiranya terdapat majlis-majlis ilmu?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi ikhlaskanlah amalan ibadah.
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk"
(Surah at-Taubah' ayat 18)
Alah Bisa Tegal Biasa
Jam menunjukkan pukul 10.20 pagi. Ramai yang berpusu-pusu keluar dari kelas, untuk ke kantin.
"Eh, aku nak pergi surau kejap, nak buat solat dhuha, kau nak ikut?"
"Hmm, taku takutlah,  nanti kalau lambat nak pergi kantin, habis pula kuih kesukaan aku tu."
"Laa, tak sampai 5 minit pun, banyak lagi kuih tu, kalau dah ditentukan Allah yang tu rezeki kau, mesti ada punya."
"Hehe, tak pe la kot, gerak dulu." Katanya sambil berjalan menuju ke kantin.
Perkara sunat ini begitu dipandang enteng dalam kalangan masyarakat kita saban hari. Sungguhpun ia hanya solat sunat, ia sangat dituntut dalam Islam untuk melakukannya.
Sekiranya kita mampu untuk menghabiskan masa selama hampir 20 minit, untuk santapan fizikal, mengapa begitu payah untuk kita menghabiskan masa hanya 5 minit sahaja, untuk santapan rohani?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi perbanyakkanlah yang sunat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Abu Hurairah berkata; Kekasihku Rasulullah SAW berwasiat kepadaku dengan puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Duha dua rakaat dan melakukan witir sebelum tidur."
(Hadis Muttafaq 'Alaih)
Mana Satu Menjadi Keutamaan?
Cuti sekolah sememangnya amat diminati, samada pelajar mahupun guru. Masa yang begitu lapang digunakan sebaik-baiknya.
Sebuah 'status' di Facebook ditulis oleh seorang sahabat.
"Saya baru beli novel ni tiga hari lepas, dalam 604 muka surat. Seronok sangat novel ni, pasal perjuangan seorang lelaki untuk menegakkan cintanya terhadap seorang wanita. Dah habis baca, saya ingat nak bagi awak pinjam, tak rugi kalau baca."
Terbitnya bibit-bibit keinsafan, setelah membaca status itu. "Hmm, kalau novel setebal 604 muka surat mampu dibaca dalam masa tiga hari sahaja, mesti Al-Quran yang setebal 604 muka surat juga, mampu dihabiskan dalam masa tiga hari juga, kan?"
Kurangnya kesedaran dalam kalangan kita. Mudah sahaja kita menghabiskan novel atau majalah dalam masa yang singkat, tetapi begitu sukar untuk kita menghabiskan masa untuk membaca Al-Quran, sungguhpun satu muka surat.

Tiada salahnya untuk membaca novel, tetapi janganlah sehingga terlalu alpa, sehingga kita lupa membaca sebuah lagi novel yang agung, iaitu Al-Quran.
Bukan bermaksud menghalang, tetapi seimbangkanlah dunia dan akhirat.
Masih Belum Terlambat
Tidak ada istilah 'aku sudah terlambat' di dalam Islam, melainkan setelah kita mati. Pada ketika itu, tiada gunanya kita merayu kepada Allah, untuk diminta kembali semula ke dunia. Kini kita berada di alam dunia, alam yang ketiga selepas kita berada di alam janin dan alam roh. Barulah diikuti dengan alam kubur dan alam akhirat. Antara dunia dan akhirat, kita bertemu alam dunia dahulu (pertama) namun, walau pun kita bertemu dengan dunia dahulu (pertama) jadikanlah akhirat itu utama. 
Kita masih mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik. Jadilah hamba Allah yang bersyukur. Janganlah sampai kita tidak lagi diberi hidayah oleh Allah, sehingga kita dibiarkan sahaja hanyut dengan nikmat dunia. Maka pada ketika itu, kitalah hambaNya yang paling rugi.

Biodata Penulis

Aizuddin bin Abdul Hamid sedang melanjutkan pelajaran di Lancaster University, United Kingdom dalam bidang Matematik. Beliau berkongsi karya di http://resolusiaddin.blogspot.com

MUTIARA TAQWA